Pemimpin veteran pembangkang Lim Kit Siang menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki melepaskan jawatan bagi menaikkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

Kegagalan berbuat demikian, kata Lim, boleh menyebabkan China dan Indonesia mengatasi Malaysia dalam beberapa tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata CPI TI terkini menunjukkan Malaysia mencatatkan markah yang rendah bersama Argentina, Turki, Mexico dan Venezuela – berbanding ketika indeks itu mula diperkenalkan pada 1995.

"Negara-negara yang telah turun dalam senarai penarafan TI CPI dalam siri pertama pada tahun 1995, seperti China, Thailand, India dan Indonesia, pantas mengejar kedudukan Malaysia, yang telah mengalami kemunduran sejak 1995.

"Mujurlah, trajektori ini dihentikan apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih, dan dalam TI CPI 2019, Malaysia mencapai prestasi TI CPI terbaik dalam tempoh 25 tahun dengan peningkatan enam mata untuk skor TI CPI dan kenaikkan 10 anak tangga dalam ranking TI CPI – kedudukan ke-51 dan skor 53 daripada 100.

"Kini kita kembali terjerumus ke dalam kancah rasuah seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan perkara buruk bakal berlaku akibat daripada skandal Azam dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam,” kata Lim.

Lim mengunjurkan bahawa berdasarkan trajektori semasa, China dan Indonesia berkemungkinan mengatasi Malaysia menjelang 2025.

Reputasi SPRM terjejas baru-baru ini selepas Azam didapati memiliki lebih dua juta waran dalam sebuah syarikat senaraian awam pada 2016, semasa menjadi pengarah bahagian siasatan SPRM.

Peraturan perkhidmatan awam menghalang kakitangan kerajaan daripada memiliki lebih daripada RM100,000 dalam ekuiti dalam mana-mana syarikat.

Reputasi Azam semakin terhakis selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) menafikan dakwaannya bahawa waran itu diurusniagakan oleh adiknya.

Undang-undang Malaysia tidak membenarkan perdagangan secara proksi, namun SC menjelaskan Azam tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut meminta rakyat Malaysia menerima penemuan SC.