#TangkapAzamBaki: Puluhan hadir solidariti lepas rakan disiasat
Puluhan aktivis berkumpul di hadapan ibu pejabat polis Brickfields hari ini sebagai tanda solidariti buat rakan seperjuangan mereka dan individu lain yang dipanggil untuk disoal siasat berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki minggu lepas di Kuala Lumpur.
Bercakap kepada Malaysiakini ketika ditemui di lokasi, beberapa peserta perhimpunan menganggap soal siasat beramai-ramai yang bermula sejak awal minggu ini sebagai satu bentuk ugutan pihak berkuasa untuk menghalang protes pada masa hadapan.
Menurut seorang ahli penganjur perhimpunan #TangkapAzamBaki, polis setakat ini telah memanggil 80 individu termasuk orang awam yang mereka kenal pasti telah menyertai protes pada Sabtu lalu.
Kira-kira 40 daripada mereka diarah datang ke ibu pejabat polis Brickfields hari ini.
“Setakat ini, hampir 80 pelajar, aktivis, orang awam dan ahli politik telah dipanggil polis untuk disoal siasat mengenai perhimpunan #TangkapAzamBaki.
“Saya fikir ia jelas satu ugutan untuk menakutkan orang ramai agar tidak menghadiri sebarang perhimpunan pada masa hadapan.
“Sebab dahulu hanya penganjur atau ahli politik tertentu sahaja yang dipanggil. Tetapi kali ini polis memanggil 50 orang awam yang hadir (protes).
"Adalah menjadi hak kita dalam perlembagaan untuk menyertai protes, jadi apabila begitu ramai yang dipanggil di sini menunjukkan ia adalah intimidasi semata-mata.
"Ia boleh menyebabkan panik di kalangan rakyat terutamanya daripada menghadiri perhimpunan akan datang," kata Qyira Yusri dari pergerakan Undi18.

Aktivis itu percaya bahawa tindakan pihak berkuasa adalah bercanggah dengan perlembagaan, dan berharap ada peguam yang akan mencabar tindakan itu.
"Ia membimbangkan kerana orang muda mungkin tidak mahu meneroka advokasi aktivisme kerana hanya dengan menghadiri protes mereka boleh disiasat oleh polis," tambahnya.
Perhimpunan solidariti itu bermula kira-kira jam 3 petang apabila antara 30 hingga 50 orang berhimpun bagi menunjukkan sokongan kepada mereka yang tiba di ibu pejabat polis daerah untuk bertemu dengan pegawai penyiasat bagi memberi keterangan.
Antara yang dipanggil ialah beberapa wakil rakyat termasuk Young Syefura, Teresa Kok, Lim Yi Wei dan Rajiv Rishkaryan.
Rifqi Faisal, pengasas organisasi reformasi pendidikan yang digelar Myermovement, juga percaya bahawa aktivis dan penunjuk perasaan sepatutnya tidak menjadi subjek siasatan polis.

"Ramai rakan saya termasuk ahli Myermovement telah dipanggil oleh polis, jadi saya berada di sini hari ini untuk menunjukkan solidariti saya dengan mereka.
“Banyak ugutan untuk aktivis yang hanya mempertahankan hak mereka.
“Yang mana tidak adil apabila melayan aktivis terutamanya belia yang keluar hanya untuk mempertahankan hak mereka.
"(Membenarkan protes) adalah baik untuk demokrasi, kerana apabila orang ramai boleh bercakap tentang hak mereka, ini bagus untuk demokrasi. Apa yang tidak baik untuk demokrasi ialah mencabar aktivis dan memanggil mereka ke IPD," katanya.
Akan beri kerjasama
Seorang pemimpin politik muda dari parti Muda turut memberikan pandangan yang sama dengan menganggap siasatan yang dijalankan terhadap mereka yang terlibat dalam protes itu termasuk beberapa ahli parti mereka sebagai tidak perlu.
Bagaimanapun, menurut Ahmad Zarul Afiq, mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Kami datang ke sini hari ini untuk menunjukkan solidariti kepada pemimpin kami yang dipanggil polis.
“Tiga pemimpin daripada Muda kini berada di dalam balai polis untuk direkodkan keterangan mereka.
"Kami ingin menegaskan bahawa mereka tidak sepatutnya menjadi subjek siasatan, tetapi kami faham bahawa polis hanya menjalankan tugas mereka dan kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya," kata Zarul, yang juga Timbalan Ketua Muda Pahang.
Rakan seperjuangannya Muhammad Hafy dari Muda bahagian Bukit Bintang berkata mereka percaya tindakan polis adalah menyeleweng dari keadilan.
"Apa yang kami percaya di sini ialah mereka tidak seharusnya gentar. Mereka hanya menggunakan hak perlembagaan mereka untuk berhimpun, untuk membantah.
“Kami percaya ini adalah satu penyelewengan keadilan yang besar, dan kami menuntut keadilan bagi pihak rakan kami, pemimpin kami
"Kami percaya ini (siasatan) tidak sepatutnya berlaku."
Sementara itu, Young Syefura Othman, yang merupakan Adun Ketari daripada DAP, mempersoalkan mengapa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang menjadi subjek protes mereka minggu lalu, tidak dipanggil untuk menjawab mengenai dakwaan terhadapnya.
“Sebab itu kita kata institusi kita rosak, kerana orang atasan.
"Kami berharap rakyat akan sedar apa yang berlaku di sini."

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok pula berkata dia tidak tahu sama ada Azam Baki telah dipanggil polis atau tidak, sedangkan pada masa sama ramai orang yang mengatakan bantahan terhadap ketua suruhanjaya antirasuah itu telah dipanggil untuk disoal siasat.
“Sebenarnya saya sendiri dan Khairuddin (Abu Hassan) tidak sertai perhimpunan itu, kita hanya menonton protes.
“Kami ingin 'memuji' polis atas kecekapan mereka menjalankan tugas menyiasat kami.
"Jika kecekapan yang sama boleh diperluaskan dalam kes Azam Baki, saya percaya kita tidak memerlukan sebarang perhimpunan bantahan sejak awal lagi," katanya kepada pemberita sebelum masuk ke balai polis.
Pada 22 Jan, ratusan penunjuk perasaan turun ke jalan raya di Kuala Lumpur untuk menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap Azam, yang dikaitkan dengan pemilikan lebih dua juta unit saham.
Azam sebelum ini menafikan sebarang salah laku dan mendakwa saham berkenaan dibeli oleh adiknya menggunakan akaunnya.

