Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa patah kaki, Puad tanya pemimpin PAS
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 10:44 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

PAS didakwa bertindak melemahkan Muafakat Nasional (MN) dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) sehingga sanggup mengenepikan pemimpin parti itu yang menyokong muafakat Umno-PAS.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi mengingatkan pemimpin PAS parti mana yang sebenarnya "itik patah kaki" yang meminggirkan piagam MN demi nikmat jawatan dalam kerajaan.

"Siapa yang patah kaki dan mahu berenang sendiri? Ingat, Piagam MN dimeterai dengan tangisan dan linangan air mata di PWTC

"Sebenarnya PAS yang lemahkan MN bila sertai PN dan main dua lawang. PAS hanyut kerana nikmat jawatan bertaraf menteri, menteri dan kerajaan pusat yang PAS sudah lama tidak merasanya.

"Sebab itu, PAS sanggup meminggirkan dua tiga orang pemimpin atasannya yang pro MN seperti Khairuddin At Takiri (Aman Razali), Nik Abduh (Nik Aziz) dan Dr (Mohd Zuhdi) Marzuki," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Jumaat lalu, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menggelar Umno sebagai "itik patah kaki" yang telah disembuhkan parti itu dan kini cuba untuk berenang sendiri.

Gelaran Abdul Hadi dibalas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang terbuka menerima gelaran itu sambil mengingatkan PAS bahawa kebangkitan mereka bukan disebabkan rawatan daripada PAS.

Jelas Mohamad, gelaran yang diberikan pihak luar kepada pemimpin dan parti itu sebenarnya dicipta oleh pihak musuh saja.

“Bagi mereka yang menggelar Umno dengan pelbagai gelaran (seperti) itik, angsa, harimau dan sebagainya - gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

"Umno masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia," kata Mohamad.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata PAS tahu Umno tolak PN kerana Bersatu tikam belakang Umno dan Itu berlaku pada pilihan raya Sabah.

"Tetapi PAS tidak peduli itu semua. PAS tidak rugi apa apa.

"Akan sampai masanya PAS akan ditikam dari belakang. Tiada kejujuran politik dalam PN. Pada Umno, lebih baik jalan terus secara solo. Umno tidak rugi. Itu terbukti di pilihan raya Malaka.

"Jangan nanti PAS yang akan jadi itik patah kaki. Mungkin patah kedua-dua kaki kerana bersekongkol dengan Bersatu yang didominasi oleh katak politik," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS