Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan Umno mungkir janji tapi Bersatu khianat di Sabah - Najib
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 4:45 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Bekas Presiden Umno, Najib Razak berkata Umno berasa dikhianati selepas Bersatu meletakkan calon menentang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

"Ada yang masih menggunakan alasan bahawa Umno pernah bersetuju untuk mengajak Bersatu menyertai Muafakat Nasional (MN) lalu kami memungkiri janji sebagai propaganda bahawa Umno yang tidak jujur.

"Ya, surat jemputan kepada Bersatu pernah ditandatangan pada akhir bulan Ogos 2020 tetapi tak sampai tiga minggu kemudian, PN meletakkan calon untuk melawan BN di 17 kerusi DUN dalam PRN Sabah.

"PN juga meletakkan calon bebas di enam kawasan DUN yang ditandingi BN untuk memecah undi kita. Sebab itu, Umno rasa dikhianati," katanya di Facebook.

Bekas perdana menteri mengulas demikian susulan kritikan daripada pemimpin PAS dan Bersatu berhubung pendirian Umno yang enggan bekerjasama dengan Bersatu di PRN Johor.

 Mengulas lanjut Najib berkata BN masih memenangi jumlah kerusi terbanyak dengan 14 kerusi berbanding 11 kerusi DUN bagi Bersatu.

Kesemua penyandang kerusi Bersatu itu katanya merupakan bekas pemimpin Umno Sabah yang menyertai Bersatu selepas PRU14.

‘KM Sabah dilantik dari Bersatu’

Menurut Najib, Umno terpaksa melepaskan banyak kerusi tradisional BN yang mempunyai peluang tertinggi untuk menang kepada Bersatu sebagai sebahagian rundingan akan diberi jawatan ketua menteri sekiranya gabungan kita menang.

"Dan walaupun BN berjaya memperolehi jumlah kerusi DUN tertinggi, ketua Menteri Sabah pula dilantik dari Bersatu.

"Jadi, adakah kamu masih mahu gunakan propaganda bahawa Umno yang mungkir janji dan khianat MN serta PAS sebab tidak teruskan untuk mengajak Bersatu sertai MN setelah kita sedar kita telah dikhianati oleh puak yang tidak jujur?

"Sebab apa kita perlu bekerjasama dan berkawan dengan pihak yang niat sebenar yang mula-mula disorok mereka adalah untuk tamatkan Umno buat selama-lamanya dengan menggunakan pelbagai cara termasuk sogok ahli kita dan khianat kita?" soalnya.

Tambah ahli parlimen Pekan itu akar umbi Umno amat sedar pengkhianatan berkenaan dan telah sebulat suara membuat keputusan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN pada PRU15.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang merangkumi PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN dalam PRN Sabah pada 26 Sept 2020.

PN terdiri daripada Bersatu, Parti Solidariti tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), manakala BN terdiri daripada Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA.

Manakala Warisan Plus yang dianggotai Warisan, PH dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) memperolehi 32 kerusi Dun.

Jawatan ketua menteri Sabah kemudian menjadi pertikaian apabila PN dan BN tidak mencapai kata sepakat untuk menentukan calon mereka.

PN mahukan pengerusi PN Sabah, Hajiji Mohd Noor dilantik sebagai ketua menteri manakala BN pula menamakan Bung Moktar Radin sebagai calon.

Teki teki mengenai ketua menteri Sabah itu akhirnya terjawab apabila Hajiji mengangkat sumpah jawatan itu selepas rundingan dilakukan.

Lihat Komen
ADS