Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ratusan rumah rosak akibat puting beliung di Ipoh
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 10:06 PM
Dikemaskini: 2:11 PM

Ratusan rumah mengalami kerosakan akibat angin ribut dan puting beliung di beberapa kawasan termasuk sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di Ipoh petang tadi.

Kejadian itu menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannyadidiami masyarakat Cina menzahirkan rasa sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.

Menurut seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, beliau terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira pukul 6 petang.

"Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin.

"Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi...bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, seorang peniaga Yong Chee Fong, 35, berkata beliau bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.

"Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.

"Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri. 

 "Kita anggarkan ratusan rumah yang terlibat di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 6.40 petang dan segera mengerahkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh ke lokasi terlibat.

Beliau berkata bencana itu turut menyebabkan beberapa insiden pokok tumbang dan kerosakan rumah penduduk namun tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS