Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwaan siasatan SPRM 'tidak konsisten' - Maszlee perjelas Vellfire
Diterbitkan:  Feb 1, 2022 6:17 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik telah mempersoalkan dakwaan tidak konsisten dalam siasatan SPRM terhadapnya.

Ini berhubung tuduhan wang daripada syarikat berkaitan Kementerian Pendidikan yang didakwa diterimanya semasa menjadi menteri, untuk tujuan politik.

"Semalam (jumlah wang itu) RM50,000, hari ini RM200,000? Sejujurnya peruntukan menteri lebih daripada itu," katanya pada ciapan di Twitter.

Kedua-dua jumlah yang disebut itu dilaporkan oleh The Star dengan memetik sumber.

Maszlee turut mempersoalkan jika dia telah aktif dalam parti politik pada ketika itu.

Pada masa Maszlee menjadi menteri dari 2018 hingga awal 2020, dia ialah ahli majlis tertinggi Bersatu. Dia kini ahli PKR.

Sementara itu, mengenai dakwaan dia secara tidak wajar menerima Toyota Vellfire daripada syarikat berkaitan kementerian lain, Maszlee bertanya jika dia pernah memiliki kenderaan sedemikian.

"Adakah saya pernah memilikinya? Yang digunakan semasa (ketika saya di) Kementerian Pendidikan adalah milik kerajaan, (ia) bukan milik saya," katanya.

"Cari dakwaan lain la, yang ini terlalu pincang," katanya lagi.

Sekeping gambar Vellfire putih dengan plak "Menteri" di atas plat lesen beredar di media sosial dan kenderaan itulah yang didakwa disiasat SPRM kaitannya dengan Maszlee.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Maszlee berkata Vellfire berwarna putih itulah yang disebutnya dalam ciapan di Twitter.

Bagaimanapun, dia tidak jelas sama ada kenderaan itulah yang sedang dalam siasatan SPRM atau tidak dan berkata ia soalan untuk dijawab oleh suruhanjaya antirasuah itu.

Maszlee mendakwa tuduhan terhadapnya merupakan cubaan pembunuhan karakter menjelang pilihan raya negeri Johor, apalagi ketika dia dijangka akan bertanding.

Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS