Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu teksi tuntut k'jaan lancar khidmat e-hailing sendiri
Diterbitkan:  Feb 2, 2022 1:33 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), bagi pihak pemandu teksi menggesa kerajaan supaya membangunkan perkhidmatan e-hailing sendiri di seluruh negara.

"Kami menuntut kerajaan membangunkan sendiri aplikasi e-hailing untuk kegunaan semua pihak bagi mengantikan aplikasi milik syarikat yang selama ini jelas telah merompak berbilion-bilion ringgit wang industri serta merosakkan ekosistem industri teksi negara.

"Malah mereka telah mewujudkan suasana yang tidak harmoni di antara pemain industri khususnya pemandu teksi dan pemandu e-hailing," kata mereka pada satu memorandum.

PPDM berkata hasil berbilion ringgit daripada perkhidmatan e-hailing kendalian kerajaan boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi serta menyediakan skim perlindungan insurans kepada pemandu teksi dan kenderaan.

Jelas mereka, wang itu juga boleh digunakan untuk menyediakan biasiswa kepada anak-anak pemandu teksi dan memberi pampasan RM100,000 kepada waris mereka.

“Pendek kata, wang industri dikembalikan kepada industri, dan bukannya dibiarkan dirompak keluar negara seperti yang sedang berlaku selama ini," kata memorandum itu.

Dalam pada itu, pemandu teksi menuntut kerajaan memansuhkan semua layanan dwistandard antara perkhidmatan teksi dan e-hailing serta mengiktiraf kedua-dua industri berkenaan bawah kategori komersial.

"Ini berikutan kedua-dua perkhidmatan tersebut menjalankan satu aktiviti yang sama, iaitu mengambil penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi dengan mengenakan sesuatu kadar upah," jelas memorandm itu lagi.

Mereka juga berkata kadar tambang dan peraturan yang konsisten harus digunakan antara kedua-dua industri.

Memorandum PPDM itu yang turut mengandungi tuntutan bagi pihak pemandu bas, lori dan p-hailing, diterima awal hari ini di Pejabat Perdana Menteri oleh wakil Mohd Sabri Omar.

Pengarah komunikasi PH Fahmi Fadzil, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya, Naib Presiden Parti Kuasa Rakyat N Gobalakrishnan, Anggota Eksekutif Pusat Muda Ismail Nasaruddin dan Setiausaha Agung Putra Borhan Ahmad Zakaria turut menerima memorandum berkenaan bagi pihak parti mereka.

PPDM mendakwa banyak surat telah dihantar kepada Kementerian Pengangkutan dan menterinya, memohon penyelesaian kepada masalah mereka, namun tiada satu pun isu mereka yang telah ditangani kerajaan.

“Kesan daripada tindakan itu, kami sebagai pemain industri terpaksa mengharungi kehidupan yang sukar dan perit.

"Di atas kesedaran itu kami berpendapat sudah tiba masanya untuk kami melakukan perubahan, kami akan bekerjasama dengan mana-mana parti kompenan yang bersedia menuruti tuntutan kami," kata mereka.

PPDM merupakan sebuah organisasi yang dianggotai oleh pemimpin persatuan, pengusaha dan pemandu yang terlibat dalam industri pengangkutan darat negara.

Lihat Komen
ADS