Pusat pemulihan akidah Jakim ditutup
Pusat pemulihan akidah di Jelebu yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai tempat tahanan dan pemulihan pemimpin dan pengikut ajaran sesat, telah ditutup sejak lima tahun lalu.
Pusat pemulihan akidah di Jelebu yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai tempat tahanan dan pemulihan pemimpin dan pengikut ajaran sesat, telah ditutup sejak lima tahun lalu.
Ini berikutan tiada lagi pemimpin dan pengikut ajaran sesat yang dihantar oleh pihak mahkamah ke pusat tersebut, kerana mereka kini ditempatkan di Kem Tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting Perak.
Ekoran itu, pusat di Jelebu kini dijadikan tempat latihan dan pengajaran bagi kakitangan baru jabatan agama Islam dari seluruh negara, serta kepada umat Islam yang berminat mendalami pengetahuan agama mereka.
Sumber-sumber Jakim mengesahkan perkara tersebut ketika dihubungi malaysiakini semalam.
Katanya, dalam tempoh tersebut, mahkamah tidak lagi mengeluarkan sebarang perintah untuk pemimpin dan pengikut ajaran sesat ke pusat tersebut.
"Hanya dengan perintah mahkamah, pemimpin dan pengikut ajaran sesat boleh dihantar ke pusat pemulihan akidah di Jelebu.
"Pesalah ajaran sesat kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting di bawah ISA, yang tidak memerlukan perintah mahkamah kerana ia dalam bidangkuasa Menteri Keselamatan Dalam Negeri," katanya.
Tidak berkesan
Sumber-sumber itu percaya, tindakan menghantar pemimpin dan pengikut ajaran sesat ke Kamunting kerana pusat pemulihan akhlak didapati tidak berjaya membawa mereka kembali ke pangkalan jalan.
Bagaimanapun, sumber-sumber tidak mahu memberitahu jumlah pemimpin dan pengikut ajaran sesat yang telah dimasukkan ke pusat pemulihan akidah Jelebu sejak dibuka 10 tahun lalu.
Pada mulanya, kata sumber-sumber itu, pusat pemulihan akidah di Jelebu diwujudkan untuk menahan dan memulihkan pemimpin dan pengikut ajaran sesat di negara ini.
Jakim mempunyai dua pusat pemulihan akidah untuk pengikut ajaran sesat iaitu di Jelebu dan satu lagi di Hulu Yam, Selangor, yang diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Bagaimanapun, difahamkan, pada masa ini, tidak ada pemimpin dan pengikut ajaran sesat yang ditempatkan di pusat pemulihan di Hulu Yam.
"Kumpulan terakhir yang pernah dimasukkan ke pusat di tersebut (Jelebu) ialah pengikut Ayah Pin yang dihantar oleh Kerajaan Terengganu pada 2001.
"Pusat pemulihan akidah Jelebu juga pernah menerima kemasukan bekas pengikut kumpulan Al-Arqam. Bagaimanapun ketua mereka, Ashaari Muhammad dikecualikan kerana beliau dikenakan tahanan terhad di Labuan," katanya lagi.

