Pemilihan PKR akan dijalankan secara dalam talian dan secara fizikal pada April depan, yang dipercayai merupakan kali pertama dilaksanakan oleh parti politik di Malaysia.

Menurut pengerusi jawatankuasa pemilihan PKR, Zaliha Mustafa, sistem pengundian hibrid ini akan menggalakkan lebih ramai ahli parti untuk mengundi.

"Ini adalah kerana sistem pemilihan hibrid yang menggabungkan pemilihan secara online dan fizikal akan lebih memudahkan mereka untuk membuang undi dari mana sahaja tanpa perlu hadir ke cabang keanggotaan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak 2010, PKR mengamalkan sistem satu ahli satu undi untuk memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

PKR merupakan satu-satunya parti di negara ini yang berbuat demikian. Dalam pelaksanaan amalan ini, peratusan keluar mengundi secara amnya adalah rendah iaitu sekitar 20 peratus.

Menurut Zaliha, PKR mempunyai 1,004,629 ahli setakat Ogos 2020. Hanya ahli yang berdaftar sebelum 31 Jan akan layak mengundi untuk memilih pimpinan mereka.

"Senarai mereka yang boleh mengundi akan dimuktamadkan selepas 18 Februari dan sekarang adalah fasa semakan dan bantahan, jika ada, dari keseluruhan cabang dan sayap parti," katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan melancarkan aplikasi “ADIL apps” di mana anggota parti boleh mengemaskini maklumat kendiri serta mula mendaftar untuk mengundi secara dalam talian.

Pemilihan PKR kali terakhir diadakan pada 2018, yang menyaksikan ahli parti menggunakan komputer tablet untuk mengundi.

Memandangkan bilangan komputer tablet adalah terhad, proses pengundian mengambil masa lapan minggu untuk diselesaikan.

Sebelum ini, PKR melaksanakan kaedah tradisional iaitu menggunakan pensil pada kertas undi untuk pemilihan parti berkenaan.