PRN Johor: Penyandang DUN Tangkak akan pertahan kerusi
Selepas DUN Paloh, hari ini DAP mengumumkan calon parti itu bagi kerusi DUN Tangkak pada PRN Johor yang akan diadakan.
Hari ini, setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng mengumumkan Ee Chin Li, yang sudah menjadi wakil rakyat di situ selama dua penggal, akan mempertahankan kerusi tersebut.
Ee pertama kali menang pada PRU 2013 dengan menewaskan penyandang daripada MCA, Goh Tee Tee, dengan majorii 1,537 undi. Majoritinya pada PRU 2018, juga dengan menewaskan Goh, meningkat kepada 5,077 undi.
Ee, 40, merupakan setiausaha politik Yeo bee Yin ketika dia menjadi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ketika pentadbiran PH.
Dalam PRN kali ini, DAP mengadakan jelajah bertujuan memperkenalkan calon mereka satu per satu.EeEE

Dalam jelajah pertama, penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali diumumkan untuk mempertahankan kerusi itu.
Jelajah ini di tengah perbincangan berterusan antara Pakatan Harapan (PH) dan Muda, yang mungkin mendapat beberapa kerusi daripada gabungan itu.
Terdahulu, DAP berdepan beberapa isu domestik berhubung calon dengan spekulas separuh daripada 14 penyandang daripada parti itu mungkin digugurkan.
Ini menimbulkan rasa kurang senang di kalangan 59 cawangan parti negeri, yang menggesa kepimpinan parti supaya tidak meletakkan calon payung terjun dan sebaliknya mengutamakan pemimpin tempatan.
Dua penyandang, Tan Hong Pin (Skudai) dan Ng Yak Howe (Bentayan) juga menyatakan hasrat kepada Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong untuk mempertahankan kerusi mereka.
Kedua-duanya dilihat bukan daripada kem Liew. Ee juga dikatakan sebahagian pemimpin kem Tan.

