Kadar kebolehjangkitan Rt kebangsaan melonjak pada 1.32
Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 terus melonjak pada kadar 1.32 semalam, berbanding 1.27 sehari sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di Twitter hari ini, berkata, semua negeri melepasi kadar Rt 1.0 dengan Perlis dan Sabah merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.54.
Ia diikuti Sarawak dengan 1.48, Terengganu mencatatkan 1.36, Kedah (1.32), Pulau Pinang (1.25), Putrajaya (1.29) dan Johor serta Pahang (1.24).
Rt di tiga negeri iaitu Selangor, Melaka dan Perak berada pada kadar 1.23, disusuli Negeri Sembilan yang merekodkan 1.12 dan kadar terendah ketika ini direkodkan di Kuala Lumpur iaitu 1.09.
Kes jangkitan harian Covid-19 sepanjang bulan ini terus mencatatkan peningkatan dengan kes dilaporkan semalam adalah yang tertinggi dalam 129 hari, sejak 1 Oktober iaitu 11,034 kes.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus itu. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

