Setiausaha Politik Adun Sentosa, Danish Hairudin, hari ini dipanggil untuk memberi keterangan berhubung satu kes tangkapan layar melibatkan insiden Langkah Sheraton kira-kira dua tahun lalu.

Ketika dihubungi, Danish berkata dia memberi keterangan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 2.30 petang tadi.

"Untuk makluman, sebelum ini saya telah dipanggil kali pertama pada 2020. Pada Mei tahun lepas pihak polis memanggil saya semula ke IPD untuk mengambil keterangan selepas barang kes itu iaitu telefon pintar saya dipulangkan.

"Pada masa itu pihak memberitahu saya bahawa kes telah selesai," katanya.

Bagaimanapun kata Danis pada 6 Feb lalu seorang pegawai polis memaklumkan memanggil dia mengambil alih kes tersebut dan meminta memberi keterangan semula untuk menyelesaikan kes tersebut.

Apa yang menghairankan saya, kata Danis, kes ini sudah berlaku lama dan barang kes telah dipulangkan.

"Tetapi kenapa pada saat ini panggil saya semula untuk memberi keterangan?" soalnya.

Menurut Danis, dia menganggap tindakan tersebut sebagai suatu intimidasi.

Untuk rekod, sebelum ini Hilman Idham iaitu Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, membuat laporan polis berkenaan tangkap layar membabitkan perbualan membabitkan dia dengan Hizwan Ahmad, iaitu rakan sejawatannya untuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin.

Hilman mendakwa tangkap layar itu yang memaparkan nombor telefonnya itu sebagai palsu dan fitnah jahat bagi mencemar dan menjejaskan nama baiknya.

Menurut Danish, dia dipanggil untuk memberi keterangan setelah didakwa sebagai penyebar tangkapan layar tersebut. Selain itu tambah Danish, isterinya juga dimnta memberi keterangan.

"Ini kerana nombor telefon yang digunakan oleh saya didaftar atas nama isteri saya," katanya.