Penjualan ayam standard pada harga RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Makanan akan dilanjutkan dan diperluaskan ke seluruh Selangor bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata cara atau bagaimana ia dilaksanakan akan diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok, bergantung pada kos serta keupayaan kerajaan negeri melaksanakannya.

“Sambutan program ini sangat baik. Selepas habis 50,000 ekor ayam untuk tempoh dua minggu nanti, kita buat keputusan untuk lanjutkan mungkin sehingga maksimum empat bulan kerana program ini tidak boleh lama.

“Intervensi tidak boleh lama dan bukan sepanjang tahun, program ini hanya untuk mengurangkan beban rakyat. Kita buat program ini untuk sedikit sebanyak memastikan rakyat tidak terbeban dengan (peningkatan) kos makanan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada majlis penyampaian Surat Tawaran Pinjaman (Pelajaran) Boleh Ubah Dalam Negara di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata menerusi peluasan program intervensi itu juga, kerajaan negeri akan memberi subsidi perniagaan kepada semua peniaga dan bukan hanya di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS ) sahaja.

Pada Sabtu lepass, kerajaan Selangor melalui perbadanan itu melaksanakan Program Intervensi Harga Makanan Ehsan, membabitkan penjualan ayam standard pada harga siling RM8 sekilogram di dua outlet PKPS iaitu Pasar Borong Selangor dan Wisma PKPS, sebagai usaha menangani lonjakan harga barang makanan ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata beliau perlu mendapatkan maklumat daripada bahagian kejuruteraan dan teknikal terlebih dahulu berhubung dakwaan aktiviti perlombongan pasir di sekitar Bestari Jaya, Kuala Selangor telah menyebabkan kejadian banjir di kawasan itu.

Beliau berkata apa yang diusahakan kerajaan negeri ketika ini di kawasan tersebut adalah untuk membina kolam tadahan bagi mengelakkan kejadian banjir dan pasir yang dikorek akan mendalamkan kawasan tersebut.

“Saya ambil pandangan itu dahulu (aktiviti perlombongan pasir punca banjir). Saya nak tengok sama ada betul atau tidak ia punca berlaku banjir dan kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.

Ahad lepas Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar meminta kerajaan negeri mengkaji semula aktiviti korek pasir di daerah itu, khususnya di kawasan Bestari Jaya yang didakwa menjadi punca banjir besar, baru-baru ini.

- Bernama