Parti Warisan hari ini menggesa kerajaan negeri Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyediakan kertas putih berhubung Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) antara kerajaan negeri dan sebuah syarikat di Singapura.

Setiausaha Agungnya Loretto Padua Jr berkata, kerajaan Sabah perlu memikul tanggungjawab dan bukannya meminta timbalan ketua menterinya, Jeffrey Kitingan menjelaskan perkara itu.

"Oleh kerana Kitingan telah mengatakan kepada kita semua bahawa perkara ini telahpun dipersetujui oleh kerajaan persekutuan dan kelulusan diberikan kepada ketua menteri, maka secara automatiknya, konsep dan dasar ‘collective responsibility’ oleh kabinet negeri Sabah diaktifkan.

"Kita sekarang tahu bahawa jemaah kabinet Sabah sebenarnya tahu tentang perjanjian ini dari awal lagi maka oleh yang demikian, kita mahukan kertas putih mengenai NCA dikeluarkan oleh kerajaan negeri Sabah dan bukan lagi sekadar penerangan secara bersendirian oleh Kitingan," kata Lorettor dalam satu kenyataan.

NCA ialah perjanjian melibatkan perdagangan kredit karbon yang merupakan sistem berasaskan pasaran untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, terutamanya karbon dioksida, yang menyumbang kepada pemanasan global dengan memberikan insentif dari segi kewangan.

Ditandatangani pada 30 Okt tahun lepas, NCA melibatkan pemberian 30 peratus daripada hasil jualan kredit karbon Sabah kepada firma Singapura Hoch Standard Private Limited manakala kerajaan Sabah memperoleh sebanyak 70 peratus daripadanya.

Menurut pendedahan Al-Jazeera, Hoch Standard ialah "syarikat shell" yang dimiliki oleh sebuah firma di British Virgin Islands dengan modal berbayar AS$1,000 (RM4,180).

Perjanjian selama 100 tahun itu melibatkan dua juta hektar hutan yang bersamaan dengan saiz 2.8 juta padang bola.

Kerajaan tidak mengumumkan pemeteraian perjanjian itu dan ia hanya diketahui umum pada awal November 2021 apabila laman web berita alam sekitar, Mongabay menerbitkan artikel mengenainya.

Loretto turut menegur Jeffrey berhubung kenyataannya bahawa Sabah perlu bertindak segera supaya tidak kehilangan kuasa terhadap perjanjian perdagangan karbon berkenaan.

Katanya, alasan itu tidak memberikan sebarang justifikasi kepada Kitingan untuk menasihatkan dan mewakili kabinet Sabah serta kerajaan negeri untuk terlibat dalam satu perjanjian senyap yang berkaitan dengan pengurusan kawasan hutan Sabahk

"Beliau sepatutnya bertindak pantas dengan menggunakan kelebihannya sebagai Timbalan Ketua Menteri yang mempunyai akses kepada Kerajaan Persekutuan untuk memaklumkan rakyat Sabah mengenai kemungkinan Sabah kehilangan hak terhadap hasil yang lumayan berikutan dengan pengenalan undang-undang Persekutuan mengenai dagangan karbon ini.

"Seterusnya, membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri untuk diperbahaskan dan Warisan sudah pastinya akan menyokong usul yang mahu mempertahankan hak-hak Sabah," katanya.