Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Johor 12 Mac, penamaan calon 26 Feb
Diterbitkan:  Feb 9, 2022 12:41 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johora, kata pengerusinya, Abdul Ghani Salleh, hari ini.

Hari penamaan calon adalah pada 26 Februari, manakala pengundian awal pada 8 Mac, katanya pada sidang media, selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di Johor Bahru, hari ini.

“SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi dewan negeri tersebut.

“Bagi maksud menjalankan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 ini, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

“Tarikh keluar writ - Rabu, 9 Februari; hari penamaan calon - Sabtu, 26 Februari 2022; hari mengundi awal - Selasa, 8 Mac dan hari mengundi - Sabtu, 12 Mac,” katanya.

Tempoh berkempen pula ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari nanti.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN untuk diadakan.

Menteri Besar Johor Hasni Mohammad berkata PRN itu perlu dilakukan agar pentadbiran mempunyai mandat lebih besar.

Ketika itu, kerajaan negeri Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (Adun) Kempas, Osman Sapian yang juga bekas menteri besar, pada 21 Disember lalu.

Daripada 28 kerusi itu, Umno mempunyai jumlah yang terbesar iaitu 14 kerusi, MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), menentang 27 kerusi Pakatan Harapan iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Bagaimanapun sesetengah pihak melihat langkap membubarkan DUN itu sebagai mengambil peluang terhadap kelemahan pembangkang serta menyingkirkan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi oleh Bersatu dan PAS daripada pentadbiran negeri.

PRN Johor juga merupakan pilihan raya pertama melibatkan pengundi berusia 18 tahun ke atas, juga pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik.

Abdul Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Jan 2022.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi seramai 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa; 10,955 orang anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata PRN bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri itu dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM96 juta.

Dia berkata seramai 56 orang pegawai pengurus pilihan raya dilantik yang dibantu oleh 186 orang penolong pegawai pengurus manakala 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses Pilihan raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.

"Manakala, sebanyak 1,021 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan," katanya.

Abdul Ghani berkata sebanyak 962 buah pusat mengundi biasa akan dibuka pada hari mengundi dari 8 pagi sehingga 6 petang manakala baki 59 pusat mengundi akan dibuka mengikut waktu yang telah diwartakan.

“Manakala bagi pusat mengundi awal, sebanyak 29 buah pusat mengundi akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari; lapan buah pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi sehingga 2 petang manakala 26 buah pusat mengundi akan dibuka pada pukul 8 hingga 5 petang,” katanya.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, Abdul Ghani berkata permohonan undi pos untuk pengundi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (sembilan agensi dalam sektor keselamatan dan kesihatan) dibuka mulai hari ini sehingga 18 Feb.

"Permohonan undi pos untuk kategori 1B dan 1C boleh dilaksanakan secara dalam talian. Manakala bagi kategori Borang 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media) mula dibuka bermula hari ini sehingga 24 Feb," katanya.

Lihat Komen
ADS