Strategi 'khemah besar' rintis penyatuan pembangkang - Faiz Fadzil
PRN JOHOR | Strategi 'khemah besar' dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor adalah perintis kepada penyatuan parti-parti pembangkang, kata Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil.
Katanya, perkara itu dapat dilihat daripada kesepakatan yang dicapai antara Amanah, DAP dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
"Umum mengetahui bahawa kekalahan pembangkang di PRN Melaka dan Sarawak bukanlah kerana kekuatan BN atau Umno, tetapi kerana pecahnya undi dalam kalangan parti-parti pembangkang.
"Kewujudan parti-parti baru tidak boleh dielak atas premis demokrasi dan kebebasan berpersatuan dan berpolitik yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah pemimpin Amanah itu, tiada parti yang bergerak secara solo mampu menang pilihan raya untuk membentuk kerajaan kecuali jika berpakat dalam satu gabungan.
"Tanpa strategi yang betul, pihak musuh yang zalim dan bathil boleh menang. Maka, kesepakatan ini satu strategi politik yang berkesan dan bijak.
"Sekuat mana sekalipun sesebuah parti politik bukanlah tiket untuk menang pilihan raya kerana pola pengundian rakyat terbahagi kepada beberapa segmen dan faktor.
"Ada yang mengundi disebabkan parti, ada juga didorong oleh faktor calon dan ada juga terhasil daripada sentimen dan gelombang," jelas Faiz.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh PRN Johor.

