Zoo Melaka ditutup selama lima hari bermula hari ini selepas seorang daripada penjaga haiwan di destinasi ikon pelancongan negeri itu dikesan positif Covid-19.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman, berkata penutupan itu bertujuan memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi di Zoo Melaka, termasuk kemudahan di dalamnya, antaranya kafe, pentas persembahan haiwan, kaunter tiket dan stesen trem, dapat dilakukan secara menyeluruh selama tiga hari bermula esok.
"Setakat ini hanya seorang kakitangan Zoo Melaka didapati positif dan jangkitan adalah daripada ahli keluarga, tapi kita terpaksa menutup sementara zoo ini sebagai langkah awal untuk mengekang penularan Covid-19, sekali gus mengelak kluster baharu memandangkan kes positif Covid-19 di Melaka juga semakin meningkat.
"Penutupan ini bagaimanapun tidak melibatkan operasi pentadbiran dan pengurusan haiwan di Zoo Melaka, ia berjalan seperti biasa," katanya pada sidang akhbar berkaitan penutupan sementara Zoo Melaka di pejabatnya, di sini hari ini.
Shadan berkata, kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan dan pembersihan kawasan zoo juga akan dijalankan sepanjang penutupan sementara itu sebagai persediaan menghadapi cuti sekolah yang akan bermula 26 Februari hingga 20 Mac ini.
Beliau berkata, jumlah pengunjung ke Zoo Melaka dijangka terus meningkat sepanjang sesi cuti persekolahan berkenaan dan pihaknya perlu memastikan persediaan rapi daripada aspek prosedur operasi standard (SOP), terutama penjarakan fizikal dapat dipatuhi.
Katanya, lebih banyak pintu masuk ke Zoo Melaka akan dibuka bagi memastikan pengunjung tidak beratur panjang dan mengelak mereka berkumpul di luar terlalu lama.
Beliau berkata, SOP penjarakan fizikal dapat dilakukan walaupun Zoo Melaka meliputi kawasan 21.04 hektar dan boleh menampung 3,000 pengunjung dalam satu-satu masa.
"Pada cuti Tahun Baharu Cina lalu, Zoo Melaka merekodkan sebanyak 32,800 pengunjung dalam tempoh tiga hari bermula 1 Februari dengan purata 10,000 pelancong setiap hari bagi tempoh terbabit. Sejak 1 Januari hingga hari ini pula, lebih 50,000 orang direkodkan berkunjung ke Zoo Melaka dan dijangka terus meningkat menjelang curi sekolah Mac depan," katanya.
Beliau turut memaklumkan, hanya 50 peratus daripada 300 kakitangan MPHTJ yang bertugas di dalam Pejabat MPHTJ di Melaka Mall di sini, akan bekerja setiap hari secara giliran bagi mengekang penularan Covid-19 selama seminggu bermula esok, selepas enam daripada mereka dikesan positif dan sedang menjalani kuarantin.
- Bernama
