Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) meluluskan vaksin Covaxin yang dikeluarkan oleh Bharat Biotech di India, menjadikannya vaksin Covid-19 kelapan diluluskan di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin berkenaan diberikan kelulusan bersyarat untuk kegunaan mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit–risk balance) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada dos penggalak juga diluluskan untuk vaksin berkenaan.

Pemegang pendaftaran produk berkenaan ialah Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd manakala pengilang ialah Bharat Biotech International Limited, India.

Sama seperti vaksin Sinovac keluaran Coronavac dan vaksin Sinopharm keluaran Covilo yang telah diluluskan di Malaysia, Covaxin digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah Covid-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2.

Vaksin itu juga telah mendapat kelulusan tahun lalu dan disenaraikan untuk penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).