Cuepac: Jaminan PM timbang kenaikan gaji ktangan awam
Hampir 900,000 kakitangan awam sokongan di seluruh negara boleh menarik nafas lega dengan jaminan kerajaan untuk menimbang secara serius tuntutan kenaikan gaji sektor awam yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Hampir 900,000 kakitangan awam sokongan di seluruh negara boleh menarik nafas lega dengan jaminan kerajaan untuk menimbang secara serius tuntutan kenaikan gaji sektor awam yang dikemukakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, jaminan yang dibuat sendiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, mampu mengurangkan kekangan ekonomi yang dihadapi kakitangan sektor awam terutamanya kakitangan sokongan yang berpendapatan rendah.
"Ramai kakitangan kerajaan kini dalam keadaan terdesak dan menghadapi masalah kewangan sampai ada di antara mereka yang terpaksa buat kerja sambilan, ada yang bawa teksi dan menjual di pasar malam untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Bersama Presiden Cuepacs, sebuah pameran bergerak yang diadakan oleh kesatuan itu bagi membincangkan pelbagai isu melibatkan kakitangan kerajaan termasuk tuntutan kenaikan gaji yang dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan baru-baru ini.
Menurut laporan Bernama, Cuepacs mengemukakan cadangan semakan gaji dari 10 peratus sehingga 40 peratus memandangkan kali terakhir kerajaan memberi semakan gaji kakitangan awam ialah pada tahun 1991.
Omar berkata kenaikan gaji 40 peratus yang dicadangkan oleh pihaknya adalah untuk kumpulan sokongan II, Gred 1 hingga 16 yang merupakan jawatan terendah dalam sektor awam manakala bagi kumpulan sokongan I, Gred 17 hingga 26 dan Gred 27 hingga 40 pula kadar kenaikan yang dicadangkan ialah 30 peratus.
Kumpulan pengurusan dan profesional, Gred 41 hingga 54, Cuepacs mencadangkan kenaikan gaji sebanyak 20 peratus manakala bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) pula sebanyak 10 peratus.
"Setakat ini, kita menunggu keputusan dari pihak kerajaan. Kita yakin, kali ini akan ada kenaikan gaji walaupun mungkin tidak dapat sepenuhnya seperti apa yang kita minta," katanya.
Beliau berkata kenaikan gaji itu, sekiranya diluluskan, akan bermula pada Januari tahun depan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.