Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Premier Sarawak: Najib soal DAP apa yang lucu sangat?
Diterbitkan:  Feb 16, 2022 11:36 AM
Dikemaskini: 5:57 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak membidas tindakan seorang wakil rakyat pembangkang yang menentang cadangan untuk menukar nama ketua menteri Sarawak kepada premier atas alasan syok sendiri, mengelirukan serta seperti jenama tisu.

“Takde isu lain ke, DAP?

“Kenapa pula wakil rkyat DAP seorang ini bawa jenama kertas tisu Premier ke DUN untuk sindir penukaran gelaran Ketua Menteri ke Premier bagi melambangkan kedudukan Sarawak sebagai rakan dalam Malaysia setelah Akta A1642 yang merupakan komitmen krajaan persekutuan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mula berkuat kuasa minggu lepas,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian dalam satu hantaran di media sosialnya.

Semalam, Adun DAP tang mewakili Pending, Violet Yong mempersoalkan kenapa perlu menggunakan nama premier yang sama dengan jenama kertas tisu sambil menunjukkan kotak produk itu.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 berkaitan pertukaran itu diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokong. Hanya enam wakil rakyat menentang.

Pindaan itu dikatakan selari dengan amalan negara-negara Komanwel apabila ketua persekutuan digelar perdana menteri, ketua wilayah membentuk persekutuan digelar premier dan subwilayah atau negeri lain diketuai oleh ketua menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata, banyak lagi negara dan negeri pun mengguna gelaran premier.

“Contohnya negeri-negeri Australia gunakan premier. Negara China pun ada Premier Li Keqiang.

“Apa yang lucu sangat, YB? Sila kongsi. Jangan gelak seorang diri,” sindirnya.

Lihat Komen
ADS