Kebajikan anak-anak bukan hanya tentang akidah, kata Nurul Izzah
Kebajikan anak-anak bukan terletak hanya pada akidah mereka tetapi juga kesejahteraan dari aspek fizikal dan emosi, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.
Justeru katanya seseorang itu tidak wajar dipisahkan daripada ibu bapa masing-masing.
Menulis dalam satu hantaran di Twitter, Nurul Izzah turut memuat naik laporan akhbar dari portal Free Malaysia Today berhubung rintihan ibu tunggal, Loh Siew Hong, yang bertanya mengapa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan anak perempuannya.
Pada masa sama Loh juga mempertikaikan kebenaran yang diberi pihak berkuasa kepada Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.
“JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) harus tanpa syarat menyegerakan pertemuan ibu berkenaan dengan anak-anaknya.
“Kebajikan anak-anak bukan terhad hanya kepada akidah semata-mata, tetapi juga kesejahteraan fizikal dan emosi mereka; tidak dipisahkan daripada kedua-dua ibu bapa - yang secara konsisten diberi akses kepada anak-anak,” katanya.
Loh asalnya terpisah daripada tiga anaknya selepas bekas suaminya menukar agama mereka secara sepihak pada tiga tahun lalu. Bagaimanapun semalam dia dapat bersemuka sebentar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Tiga anak Loh itu berusia 14 dan 10 tahun, dengan dua daripadanya pasangan kembar.
Mereka kini diletakkan di bawah jagaan JKM Perlis, sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Loh dalam keadaan sedih memberitahu Malaysiakini semalam, dia dihalang JKM daripada melawat anaknya walaupun pada awalnya dimaklumkan boleh bertemu selama sejam setiap hari, tertakluk kepada syarat keputusan ujian Covid-19.

