Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno nak bunuh karakter Muhyiddin sebab kredibiliti Zahid diragui'
Diterbitkan:  Feb 16, 2022 6:44 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Wan Saiful Wan Jan berpandangan Umno dan BN kini giat berusaha membunuh karakter Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjelang PRN Johor.

Ketua penerangan Bersatu itu mendakwa ini kerana Umno dan BN tiada pilihan lain memandangkan presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi diragui kredibilitinya.

"Kita faham kehendak Umno adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak Umno dikuburkan di negeri mereka dilahirkan.

"Strategi yang digunakan Umno ini adalah pembunuhan karakter. Bagi mereka disebabkan presiden Umno seorang yang diragui kredibilitinya dan menghadapi pelbagai kes mahkamah.

"Dalam keadaan tiada pilihan, itulah presiden yang mereka ada. Jadi, mereka perlu pastikan presiden parti lain juga dianggap tidak bersih,” katanya dalam satu program di Iskandar Puteri, Johor seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Justeru, katanya lagi, dia tidak pelik apabila Umno dilihat mahu “membunuh karakter bekas perdana menteri itu.

Dia berkata demikian sebagai mengulas hasrat Umno yang mahu menguburkan Bersatu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Untuk rekod, Zahid pada akhir bulan lalu diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana daripada Yayasan Akalbudi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata tindakan pembunuhan karakter itu adalah langkah terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.

"Macam saya cakap dalam ceramah tadi, kalau ditampal gambar (Presiden Umno) Zahid Hamidi sebelah (Muhyiddin), saya rasa orang akan gelakkan sahaja jika nak buat perbandingan itu.

"Kita tak mahu rakyat dapat kerajaan yang diragui integritinya dan hanya mahu memperkaya diri sendiri, sebab itu kita mahu rakyat jangan undi BN dan Umno," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS