Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mereka beritahu bapa akan bunuh diri jika anak ikut saya - Loh

Ibu tunggal, Loh Siew Hong menafikan dakwaan bahawa anak-anaknya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis enggan bertemu dengannya.

Dalam temu bual dengan Malaysiakini, Loh mendakwa anak-anaknya dihasut (brainwash) oleh pihak tertentu, termasuk keluarga bekas suaminya agar anak-anaknya menolak untuk berjumpa dengannya.

"Mereka beritahu anak saya bapa mereka akan bunuh diri jika ikut saya, saya juga dipersalahkan kerana menghantar bapa mereka ke penjara di Machang, Kelantan atas kesalahan berkaitan dadah," jelasnya.

"Anak-anak saya tidak tahu bahawa bapa mereka dipenjara bukan sebab saya," tambah tukang masak yang bekerja di sebuah hotel di Genting Highlands itu.

Loh berkata anak kembarnya yang berusia 14 tahun dan anak lelakinya yang berumur 10 tahun kelihatan gembira apabila bertemu dengannya pada 16 Feb lalu ketika dia melawat mereka di Perlis.

Anak-anak Loh diletakkan di bawah jagaan JKM Perlis sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus yang ditetapkan pada 21 Feb di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Menurut mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, anak-anak kepada ibu tunggal berkenaan enggan berjumpa ibu mereka dan menyatakan kanak-kanak itu mahu bersama agama Islam dan mahu ke sekolah agama.

Asri mendakwa kanak-kanak terbabit juga bertegas bahawa mereka rela memeluk agama Islam tanpa dipaksa oleh sesiapa.

Tambahnya, ibu mereka juga tidak muncul dan pihak berkuasa agama Islam Pulau Pinang telah menjaga kanak-kanak berkenaan di pusat pengajian agama.

Pada 2019, Loh bebas daripada penderaan yang dilakukan oleh suaminya selama bertahun-tahun termasuk pernah dipukul dengan tukul dan kakinya patah.

Dia juga pernah dimasukkan ke hospital dengan 27 jahitan di kepala

Loh akhirnya menghubungi Pusat Perkhidmatan Wanita (WCC) di George Town yang memberinya tempat perlindungan sehingga sembuh.

Dalam pada itu, Loh turut menolak dakwaan bahawa dia tidak mempedulikan anak-anaknya.

Sebaliknya Loh mengatakan dia mengambil masa selama tiga tahun untuk mencari mereka tetapi menghadapi pelbagai rintangan.

Dia nekad mengambil semula anak-anaknya walaupun bekas suaminya, Nagahswaran Muniandy dilapor telah menculik mereka dan menukarkan agama kanak-kanak di bawah umur itu kepada Islam.

Dapat hak penjagaan anak, fail penceraian

Pada Julai 2019, Loh memperoleh hak penjagaan sementara anak-anaknya dan memfailkan perceraian serta permohonan mendapatkan hak penjagaan penuh kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun pada tahun 2020, kes berkenaan ditangguhkan apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Loh cuba berjumpa anak-anaknya ketika mereka dimasukkan ke hospital selepas terbabit dalam satu kemalangan tetapi tidak dibenarkan oleh kakak iparnya.

Setelah Loh bertemu mereka dengan bantuan polis, anak-anaknya enggan berjumpa dengannya dan mengatakan "Awak bukan ibu kami. Hanya makcik dan pakcik kami yang jaga kami".

Ketika itulah Loh sedar anak-anaknya telah dihasut agar percaya dia telah meninggalkan mereka. Dia juga dipersalahkan kerana menyebabkan bapa kepada anak-anaknya itu dipenjarakan.

Loh berkata, dia juga pernah memohon kepada ibu mentuanya untuk membenarkan dia menjaga anak-anaknya di hospital, untuk satu malam.

"Malam itu, anak saya bertanya apa yang berlaku, kenapa bapanya kata dia akan bunuh diri jika mereka tinggalkannya? Dia (bekas suami) beritahu mereka akan ikat lehernya pada kipas dan gantung diri.

"Dia mengugut anak-anak saya supaya mereka tak ikut saya. Bila tahu perkara ini, saya tidak mahu kelirukan lagi anak-anak saya walaupun mereka tahu apa yang berlaku kepada saya, bagaimana saya dipukul dan terpaksa dibawa ke hospital dengan ambulan," katanya dalam nada sebak.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS