Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kok: Tak perlu komen bahasa Inggeris saya, jelaskan maksud 'under one roof'
Diterbitkan:  Feb 20, 2022 1:58 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata Menteri Industri Utama dan Komoditi Zuraida Kamaruddin sepatutnya menjelaskan apa yang dimaksudkannya dengan meletakkan tiga agensi dalam kementeriannya "under one roof" dan bukannya mengkritik mengenai kemahiran bahasa Inggeris.

Selepas Zuraida dilaporkan berkata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) akan diletakkan "under one roof", Kok telah menasihatinya supaya tidak berbuat demikian.

Sebagai tindak balas, Zuraida mengkritik kemahiran bahasa Inggeris Kok, mengatakan bahawa dia tidak bermaksud tiga agensi itu akan digabungkan menjadi satu apabila dia berkata "under one roof".

Kok dalam satu kenyataan hari ini berkata ketiga-tiga agensi itu sudah berada di bawah kementerian yang sama.

"Saya rasa lucu bila baca respons Menteri MPIC Zuraida Kamaruddin terhadap kenyataan saya berkenaan cadangan beliau untuk meletakkan MPOB, MPOC dan MPOCC di bawah satu bumbung (will be brought under one roof) dalam artikel yang disiarkan dalam Thesundaily.my pada 17 Februari 2022.

"Kalau ini bukan maksud beliau, apakah maksud sebenar Zuraida dalam kenyataannya “under one roof”?

"Saya percaya Zuraida tahu MPOB, MPOC dan MPOCC sudahpun terletak dalam satu kementerian. Ini bermaksud ketiga-tiga agensi ini telah pun terletak di bawah 'satu bumbung'," kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Kok juga menegaskan bahawa kepimpinan tertinggi dalam tiga agensi itu sudah pun bekerjasama rapat antara satu sama lain di bawah kementerian.

"Bukankah ini bermaksud mereka sudah berada di bawah satu bumbung?

"Memandangkan Zuraida berkata pemahaman bahasa Inggeris saya lemah sehingga saya tidak faham maksud sebenar beliau dalam wawancaranya dalam Thesundaily.my, dan beliau mungkin juga tidak faham kenyataan saya dalam bahasa Inggeris, jadi sekarang saya jawab dakwaan beliau dalam Bahasa Malaysia, dengan harapan beliau faham maksud saya bahawa MPOB, MPOC dan MPOCC memang telah lama berada “di bawah satu bumbung” (under one roof)," katanya.

Zuraida telah menjawab sebelum ini bahawa dia tidak bermaksud menggabungkan ketiga-tiga agensi itu, tetapi dia mahu memastikan ia berada di satu tempat untuk memudahkan komunikasi yang lebih mudah.

Lihat Komen
ADS