Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein disahkan positif Covid-19.

Pejabat Menteri Kanan Pertahanan itu memaklumkan Hishammuddin telah menerima dos penggalak dan akan menjalani tempoh isolasi mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Beliau sememangnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 jenis RT-PCR secara berkala selain turut kerap melakukan ujian pengesanan secara kendiri (self-test) melalui kaedah RTK Antigen.

"Kali terakhir beliau menjalani ujian pengesanan jenis RT-PCR dan mendapat keputusan negatif COVID-19 ialah pada Jumaat, 18 Februari 2022," katanya.

Menurut kenyataan itu, Hishammuddin Hussein akan terus memantau dan menjalankan tugas-tugasnya sepanjang tempoh isolasi.

"Marilah kita sama-sama mendoakan, semoga beliau dan setiap individu yang dijangkiti wabak Covid-19 ketika ini segera dikurniakan kesembuhan oleh Allah SWT seterusnya dapat kembali menjalani rutin harian seperti sediakala. InsyaAllah," katanya.

Pada 13 Feb lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai di kementeriannya mengeluarkan kompaun terhadap beberapa pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Hishammuddin kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Ini selepas tular video menunjukkan mereka menghadiri majlis pelancaran briged MIC Johor di Kota Iskandar, Johor yang penuh sesak dengan kehadiran orang ramai.

Selain Hishammuddin, turut dikompaun ialah penyandang Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran.