Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Gaji minimum RM1,500: Tak perlu tunggu sampai hujung tahun

Kerajaan disarankan supaya menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 secepat mungkin, tanpa menunggu hingga penghujung tahun 2022. 

Harus diingat, kali terakhir kadar gaji minimum dinaikkan adalah melalui pembentangan Belanjawan 2020 apabila kerajaan bersetuju menambah RM100, iaitu daripada RM1,100 ke RM1,200 sebulan. 

Ia berdasarkan Perintah Gaji Minimum 2020, Seksyen 23 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Cadangan ini jika dilaksanakan segera, akan memberi nafas baru kepada golongan miskin B40 di negara kita. 

Walaupun keputusan ini dianggap akan memberi kesan kepada perniagaan, impak ke atas ekonomi harus dilihat secara holistik. 

Peningkatan gaji akan meningkatkan kos operasi, namun peningkatan gaji juga akan meningkatkan permintaan pelbagai barangan dan perkhidmatan domestik yang akan memberikan impak lebih besar kepada ekonomi tempatan. 

Rakyat akan mempunyai lebihan wang untuk berbelanja.

Cuba bandingkan gaji minimum Malaysia dengan negara serantau. Gaji minimum di Malaysia sekarang sebanyak RM1,200, bersamaan AS$287 sebulan.

Di Thailand, gaji minimum adalah 336 Baht sehari atau 13,440 THB, bersamaan AS$414 sebulan.Di Indonesia, gaji minimum adalah AS$326 sebulan. 

Perbandingan ini menunjukkan Malaysia antara tercorot di rantau ini. Jika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan, ia bersamaan AS$357, meletakkan negara kita di kelompok tertinggi di rantau ini. 

Gaji minimum baharu perlu menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan hari ini, sebelum diadakan PRU15. 

Kerajaan tidak perlu mengambil masa yang lama membuat kajian kerana rakyat terutama golongan B40 sudah dua tahun terseksa dan terhimpit dek wabak Covid-19.


SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS