Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja cabar perintah mahkamah tak benar diikat jamin
Diterbitkan:  Feb 24, 2022 2:25 PM
Dikemaskini: 6:25 AM

Seorang remaja perempuan mencabar perintah mahkamah yang tidak membenarkannya diikat jamin dalam kes pembunuhan membabitkan bayi lelaki yang baru lahirkan.

Peguam bela remaja berusia 15 tahun itu, Sangeet Kaur Deo berkata, mereka memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Majistret Kemaman yang tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin, sementara menunggu kes mahkamah selesai.

“Kami telah memfailkan semakan keputusan tersebut, yang akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Mac 2022,” kata Sangeet dari firma guaman Karpal Singh & Co dalam kenyataan media.

Pada 15 Feb lepas, remaja berkenaan didakwa di Mahkamah Majistret di Kemaman Terengganu kerana menikam bayi lelakinya yang baru dilahirkan sehingga mati.

Dia didakwa atas tuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Menurut laporan Malay Mail, majistret Tengku Eliana Kamaruzaman menolak rayuan remaja itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Seksyen 302 merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin dan perlu mengikut budi bicara mahkamah.

Bagaimanapun, menurut peguam remaja itu Nurainie Haziqah, Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan pengecualian jika individu yang didakwa sama ada sakit, di bawah umur atau wanita.

“Kami juga pernah berhujah bahawa kes ini mempunyai kepentingan awam dan dilaporkan secara meluas oleh media. Mahkamah boleh menetapkan duluan (precedent),” katanya dipetik sebagai berkata.

Remaja itu direman tujuh hari pada awal Februari untuk membantu siasatan polis.

Pihak berkuasa juga sedang mencari teman lelaki gadis itu yang berusia 20 tahun itu kerana dipercayai merogolnya.

Dilaporkan bayi yang baru lahir itu ditemui mati pada 8 Feb lalu di rumah gadis itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman.

Bayi berkenaan dipercayai ditikam dengan objek tajam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS