Suqiu-Pemuda Umno gugur tujuh tuntutan
Tujuh tuntutan yang dianggap "sensitif" kepada orang Melayu yang terkandung dalam rayuan pilihanraya gabungan persatuan Cina, Suqiu, hari ini digugurkan daripada senarai perbincangan dengan Pemuda Umno.
Keputusan itu dicapai selepas Suqiu mengadakan pertemuan selama lebih sejam dengan parti itu di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur tengahari tadi.
Dalam kenyataan akhbar bersama selepas itu, Suqiu dan Pemuda Umno membacakan tujuh perkara tersebut ialah:
- tindakan affirmative harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum,
- mengambil langkah untuk memansuhkan perbezaan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam semua bidang,
- membahagikan tanah secara adil kepada petani-petani yang memerlukan tanpa mengira kaum,
- menghapuskan sistem kuota yang berasaskan kaum dan menggantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan 'kebolehan,'
- menghapuskan sistem kuota untuk kemasukan universiti,
- memberi layanan yang adil bagi badan-badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani dengan saksama oleh media rasmi,
- memperkenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan mengagihkannya mengikut kemampuan keluarga pelajar tanpa mengira kaum.
Tidak cabar Perlembagaan
Pemuda Umno juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan berhubung 76 lagi isi rayuan Suqiu itu. Bagaimanapun, apabila ditanya sama ada Pemuda menerima semua isi yang tidak digugurkan itu, Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein berkata 'tidak'.
Dalam kenyataan yang sama, Suqiu turut mengulangi pendiriannya bahawa 83 isi rayuan itu tidak mencabar hak istimewa Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan ini dibaca bersama oleh Hishammuddin dan Pengerusi Suqiu Quek Suan Hiang. Tujuh wakil bagi setiap badan itu turut hadir di sidang akhbar itu yang bermula jam 4 petang di Hotel Hilton.
Kedua-dua badan itu turut melahirkan "rasa kesal ke atas reaksi-reaksi yang tidak diingini di kalangan sesetengah masyarakat Melayu dan Cina" berhubung tujuh isi rayuan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.