Calon Gerakan diminta tandatangani dokumen elak lompat parti
Diterbitkan: Feb 26, 2022 10:10 AM
PRN JOHOR | Calon Parti Gerakan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diminta menandatangani dokumen untuk menghalang mereka melompat parti.
Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata semua calon perlu menandatangani akuan berkanun dan surat peletakan jawatan sebagai wakil rakyat jika mereka keluar parti dan menyertai parti lain.
“Sememangnya bagi Gerakan, pendirian kami jelas bahawa kami tidak mahu ahli parlimen atau Adun kami melompat parti.
"Saya rasa pemimpin Gerakan yakin sepenuhnya bahawa mereka tidak akan melompat," katanya, menurut laporan Bernama.
Gerakan, yang merupakan komponen dalam Perikatan Nasional meletakkan lapan calon pada PRN Johor.
Pada masa ini, Gerakan tidak mempunyai wakil rakyat di mana-mana negeri.

