PRN JOHOR | Calon Umno bagi DUN Sungai Balang, Selamat Takim menafikan dakwaan bahawa dirinya tidak mendapat sokongan akar umbi sehingga berlaku penolakan terhadap pencalonannya di kawasan itu.

Sebaliknya, Selamat ketika ditemui berkata pertukaran saat akhir bagi kerusi DUN adalah perkara “biasa”.

“Niat saya sebagai seorang ahli Umno yang patuh pada perintah parti dan segala keputusan yang telah diputuskan pucuk pimpinan saya sebagai ahli Umno yang akan mewakili BN akur dengan keputusan tersebut.

“Soal pertukaran itu adalah biasa dalam proses rundingan kita di peringkat kepimpinan tertinggi parti dalam menentukan calon mana yang baik, tiada soal penolakan, tiada soal perkara yang tidak sepatutnya ,” katanya kepada Malaysiakini.

Selamat berkata demikian mengulas dakwaan bahawa akar umbi Umno menolak pencalonannya di DUN berkenaan.

Terdahulu tular gambar menunjukkan kain rentang tertulis “kami menolak calon luar untuk DUN Sungai Balang” di sebuah masjid di kawasan itu.

Mengiringi gambar berkenaan ialah hantaran yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pencalonan Selamat di kerusi itu.

“Yang tahu calon hanya dari kalangan Umno-BN sendiri. Kalau tak ada orang dalam yang berkepentingan pastinya tidak akan jadi macam ini. Jadi, sebenarnya KB masih lagi dengan kronisme-lahkan? Letak calon sebagai puppet (boneka) sebagai contoh DUN Maharani, betul tak?

“Umno-BN janji tak nak merepek dah tapi baru penamaan calon dah guna taktik kotor.

“Takut sangat nak masukkan orang baru yang nampak pandai dan boleh buat kerja,” tulis hantaran berkenaan yang dikongsikan kepada Malaysiakini.

‘Hubungan dengan Mohd Helmi masih baik’

Kelmarin media melaporkan Umno membuat pertukaran calon di dua kerusi DUN, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman rasmi dibuat.

Selamat, 57, dinamakan menggantikan Mohd Helmi Abdul Latif yang sebelum itu diumumkan oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanding di DUN Sungai Balang.

Mengulas lanjut, Selamat berkata hubungannya dengan Mohd Helmi masih baik.

Malah katanya, Mohd Helmi juga menerima keputusan yang telah dibuat oleh pucuk pimpinan.

“Kita sentiasa bekerjasama dalam apa jua program dan malam tadi pun kita bersama dan kita akan terus bangkit bersama-sama untuk memimpin bagi memastikan kemenangan BN.

“Helmi juga akan membantu saya dan dia sangat memberi kerjasama.

“Dia juga menerimanya kerana ini keputusan parti dan keputusan pucuk kepimpina. Alhamdulillah kami di peringkat Umno bahagian, parlimen BN Muar tidak ada masalah dan kita akan terus berjuang,” katanya.

DUN Sungai Balang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN, PN, PKR dan Pejuang.

Pada PRN Johor, Umno bertanding di 37 kerusi, manakala baki kerusi ditandingi komponen BN iaitu MCA (15 kerusi) dan MIC (empat kerusi).