Boleh lawan Maszlee? Dengan izin Allah, kata bekas Adun Layang-Layang
PRN JOHOR | Calon BN di kerusi DUN Layang-Layang, Abd Mutalip Abdul Rahim menyerahkan kepada kuasa Allah dan pengundi untuk menentukan kemenangannya dalam berhadapan pencabarnya, Maszlee Malik dari Pakatan Harapan (PH).
"Insya Allah, dengan izin Allah dan kuasa pengundi," katanya kepada pemberita ketika ditanya peluang untuk menewaskan Maszlee di kerusi berkenaan.
Abd Mutalip yang terpilih semula untuk bertanding selepas diketepikan pada pilihan raya umum (PRU) 2018, berikrar meneruskan agenda yang tertangguh ketika dia menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Dia juga menyeru agar pengundi memilih BN dan bukannya PH yang didakwanya tidak menunaikan janji selepas memenangi PRU14.
"Macam mana pun rakyat akan cari dan kita akan bantu walaupun kita bukan jadi wakil rakyat, itu yang pernah laksanakan semasa tempoh saya tak bertanding," katanya.
Dia berkata demikian pada sidang media di Dewan Muafakat Majlis Perbandaran Simpang Renggam, yang dijadikan sebagai pusat penamaan calon bagi kerusi DUN berkenaan hari ini.

Selain Maszlee, Abd Mutalip akan menentang dua lagi pencabar iaitu Alagathiran Krishnan dari Bersatu-Perikatan Nasional dan Ahmad Shafiq Othaman dari Pejuang.
Abd Mutalip merupakan Adun Layang Layang selepas memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2013.
Bagaimanapun, dia digugurkan daripada bertanding pada PRU 2018, dan digantikan oleh Onn Hafiz Ghazi yang memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis sebanyak 364 undi ketika menentang calon PKR dan PAS.
Pada PRN ini Onn Hafiz dipindahkan ke kerusi DUN Machap.
Diminta mengulas mengenai pertukaran itu, Abd Mutalip berkata ia adalah perkara biasa dalam politik jika calon digugurkan atau dipindahkan.
"Itu biasa, sebab kita duduk dalam satu bahagian. Mana-mana nak diletakkan itu terpulang pada pucuk pimpinan," katanya.
Wujudkan banyak peluang pekerjaan
Sementara itu, Maszlee yang turut disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar dari PKR menyatakan empat matlamat utamanya untuk pembangunan negeri Johor.
Antaranya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia dan menyelesaikan isu perumahan untuk golongan itu.
Selain itu dia juga mahu memastikan Johor mampu menyediakan sumber manusia yang mahir dan kompeten termasuk aspek penting penguasaan bahasa Inggeris.
"Kami akan memberi tumpuan untuk menjadikan belia Johor juga mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik, supaya negeri ini dapat menarik pemain industri antarabangsa untuk melabur di sini, kerana kita bukan sahaja mempunyai pekerja mahir tetapi mereka juga mempunyai kemahiran bahasa," katanya.
Sementara itu Alagathiran yang mewakil Bersatu turut berikrar akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan perumahan di kawasan itu.
Manakala Ahmad Shafiq dari Pejuang pula berjanji akan melakukan yang terbaik sekiranya memenangi DUN berkenaan.

