Tajuddin: Ada menteri bukan dari Umno tak endah arahan PM
Ada menteri yang tidak akur dan patuh pada arahan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob kerana berlainan parti, kata Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Tajuddin Abdul Rahman.
Katanya, rakyat telah menerima kerajaan Keluarga Malaysia dan ingin melihat ia berjalan dengan cemerlang, namun masih ada menteri yang tidak cakna dengan kehendak ini.
"Rakyat terima kerajaan keluarga Malaysia nak lihat prestasi cemerlang.
"Ada menteri-menteri tak begitu akur atau patuh pada arahan perdana menteri kerana dia parti lain, perdana menteri daripada Umno.
"Surat daripada perdana menteri tak diambil peduli, saya ada bukti kukuh, arahan perdana menteri kadang-kadang diperap begitu saja," katanya ketika ditemui wartawan Malaysiakini semalam.
Untuk rekod, Umno bersama PAS dan GPS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Bersatu dan kumpulan Mohamed Azmin Ali menarik sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020.
Bagaimanapun kerajaan PN tumbang pada Ogos tahun lalu, Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin.
Kemudiannya kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri dibentuk dengan sokongan ahli Parlimen Bersatu, PAS dan GPS.
Dalam pada itu, Tajuddin menegur menteri yang tidak mengendahkan arahan perdana menteri itu, berkata sikap sedemikian boleh merencatkan perjalanan sebuah kerajaan.
"Mana boleh begitu...kalau begitu mana nak buat kerja, jadi jangan kita ambik kesempatan begitu, jadi saya harap semua dalam Kabinet bersatu," katanya lagi.
Pun begitu, ahli parlimen Pasir Salak itu tidak menamakan menteri berkenaan dan tidak menyatakan arahan khusus daripada perdana menteri itu.
Dalam perkembangan lain, Tajuddin turut merakamkan penghargaan kepada pembangkang kerana telah membantu dan sepakat dengan perdana menteri melalui memorandum yang telah dimeterai.
"Saya ucap tahniah kepada pembangkang kerana pembangkang telah pun membantu dan sepakat dengan perdana menteri untuk tumpukan kepada isu rakyat.
"Dia nak jadi pembangkang yang membina," katanya.

