Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua Bersatu Mersing keluar parti, umum sokong calon BN
Diterbitkan:  Mar 4, 2022 6:37 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

PRN JOHOR | Ketua bahagian Bersatu Mersing, Laili Yusof mengumumkan keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Bersatu.

Pengumuman itu dibuat pada majlis makan tengah hari yang turut dihadiri bekas perdana menteri, Najib Razak, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN DUN Endau, Youzaimi Yusof.

"Sejujurnya saya dan rakan-rakan sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

"Parti Bersatu sudah lari daripada prinsip asal penubuhan.

"Bagi kami parti Bersatu sudah tiada lagi hala tuju yang kukuh dan kami rasakan bahawa penyertaan dan pengorbanan kami untuk membela rakyat hanya sia-sia saja, malah hanya menguntungkan beberapa pihak tertentu saja,” katanya pada sidang media yang diadakan pada majlis berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Laili berkata dia kini menyokong calon-calon BN yang bertanding pada pilihan raya negeri Johor.

"Dengan kenyataan ini kami ingin nyatakan hasrat untuk kembali ke landasan asal sekali gus mengumumkan sokongan kami kepada calon-calon BN," katanya.

Pada majlis itu Laili dilihat berjabat tangan dengan Najib sambil disambut teriakan "Bosku" oleh mereka yang hadir.

Untuk rekod, Laili sebelum ini merupakan pengarah pilihan raya Bersatu bagi kerusi DUN Endau.

Endau dan Tenggaroh merupakan dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Mersing.

Ketika berucap kepada orang ramai, Najib mengalu-alukan penyertaan Laili ke dalam BN dan menjangkakan lebih ramai akan mengikut jejak langkah bekas pemimpin Bersatu itu.

"Kita mesti ada sifat kemaafan sesama, jadi saya dan rakan dalam BN berlapang dada, kita terima sesiapa yang ingin kembali ke landasan perjuangan bersama-sama dengan kita. Ini akan beri satu isyarat amat jelas kepada yang lain.

"Dengar khabar ada lagi, mungkin ada lagi nak tinggalkan Bersatu," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid dilihat menyerahkan baju BN kepada Laili sebagai simbolik penyertaan dalam Umno sambil diperhatikan Najib.

Turut hadir ialah bekas Ketua Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang yang lebih awal mengumumkan keputusan keluar Bersatu untuk menyertai BN pada 27 Jan lalu.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.

Lihat Komen
ADS