PRN JOHOR | Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membangkitkan isu mengenai kertas undi pos bagi pilihan raya negeri Johor selepas menerima aduan daripada pengundi mengenai insiden calitan pada kertas undi berkenaan.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Batu Pahat semalam, Lim membangkitkan kebimbangan sama ada undi berkenaan akan dikira dan dianggap sah.

"Bagaimana pula secara kebetulan calitan berlaku pada kotak calon BN?" katanya.

Lim berkata, berdasarkan peraturan pilihan raya, pengundi boleh melukis "bulatan, penyu atau ular" di sebelah nama calon dan ia akan dikira sebagai undi untuk calon berkenaan.

Dia turut berkongsi gambar kertas undi pos (di atas) yang menunjukkan calitan itu bersebelahan dengan nama Ter Hwa Kwong, yang merupakan calon BN di kerusi DUN Penggaram.

Ter dicabar oleh Sia Wee Yet dari Perikatan Nasional dan Gan Peck Cheng dari Pakatan Harapan.

Gan yang juga merupakan calon dari DAP turut hadir pada sidang media itu.

Lim berkata, pengundi yang menetap di Kuala Lumpur itu berdepan risiko undinya diisytiharkan tidak sah jika mengundi mana-mana calon lain.

Menurut peraturan pilihan raya, sesuatu undi dianggap tidak sah sekiranya pengundi menandakan lebih daripada seorang calon.

"Jika dia menyokong PH dan letakkan tanda 'palang', adakah undi akan menjadi tidak sah?" soal Lim.

Gan menunjukkan satu lagi insiden melibatkan seorang pengundi di Rengit iaitu salah satu daripada tiga kerusi DUN di Batu Pahat selain Penggeram dan Senggarang.

Gan berkata pengundi Rengit berkenaan yang menetap di Singapura, diberi borang yang salah semasa menerima kertas undi.

Borang bertukar

"Dia menerima sampul surat yang tertera namanya tetapi apabila dia buka sampul itu, Borang 2 yang merupakan borang pengesahan identiti, memiliki nama yang berbeza," kata Gan.

Gan juga membuat panggilan kepada pengundi tersebut semasa sidang akhbar dengan menggunakan pembesar suara.

Pengundi tersebut menyatakan kebimbangan apakah undinya akan dianggap sah apabila menghantar semula undi berkenaan memandangkan borang pengesahan identiti adalah atas nama orang lain.

Pengundi itu berkata dia telah menghubungi nama individu dalam borang itu dan mendapati borang pengesahan identiti mereka telah bertukar.

Lim mempersoalkan bagaimana kesilapan sedemikian boleh berlaku dalam era digital dan menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan isu itu secara profesional.

SPR sebelum ini memaklumkan sebanyak 36,729 undi pos bagi PRN Johor telah dihantar kepada pengundi di luar Johor antara 1 dan 3 Mac.

Daripada jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos adalah untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

SPR dalam satu kenyataan pada 4 Mac lalu, mengingatkan pengundi supaya menghantar semula undi bertanda mereka bersama-sama Borang 2 kepada pegawai pengurus bahagian pilihan raya yang mesti tiba sebelum pukul 5 petang pada hari mengundi, 12 Mac.

SPR juga mengingatkan pengundi supaya tidak mengambil gambar pada kertas undi mereka.

Rakyat Johor akan keluar mengundi pada 12 Mac.