Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: Polis tahan ambulans untuk elak bertembung konvoi PM
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 7:18 PM
Dikemaskini: Mar 8, 2022 5:00 AM

Rakaman video yang memaparkan polis trafik menahan sebuah ambulans bagi memberi laluan untuk konvoi masuk ke jalan utama di Johor Bahru tular di media sosial, dengan orang ramai mempersoalkan tindakan itu.

Malaysiakini difahamkan insiden itu, yang berlaku pada Sabtu lalu, melibatkan konvoi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas dia melancarkan program Aspirasi Keluarga Malaysia di Plaza Angsana di Johor Bahru.

Rakaman dashcam menunjukkan ambulans swasta dengan siren dibunyikan ditahan untuk memberi laluan kepada konvoi itu dimuat naik di media sosial semalam.

Seorang sumber daripada pihak penguatkuasaan berkata ambulans tersebut ditahan kerana konvoi tersebut, yang bergerak dari arah Taman Tasek, telah masuk ke jalan utama dengan kelajuan tinggi dari jejambat. 

Sumber itu berkata jika ambulans itu dibenarkan meneruskan perjalanan, ia berisiko bertembung dengan konvoi di depannya.

Namun, katanya lagi, ambulans itu diberi keutamaan berbanding kenderaan lain dan dibenarkan meneruskan perjalanan terlebih dahulu selepas konvoi berlalu.

Malaysiakini menghubungi ibu pejabat polis Bukit Aman berhubung insiden itu, dan pihak polis menyambungkan pertanyaan kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. Jabatan itu belum memberi maklum balas.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan oleh ibu pejabat polis daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Ketika pelancaran program Aspirasi Keluarga Malaysia minggu lalu, Ismail Sabri menegaskan kepentingan kestabilan politik.

Turut hadir di acara itu adalah penyandang menteri besar Hasni Mohammad, yang juga pengerusi BN Johor.

Kunjungan Ismail Sabri di tengah kempen PRN Johor. Pengundi akan membuat pilihan mereka pada 12 Mac ini.

Pada Disember lalu, sebuah ambulans turut ditahan di Hulu Langat, Selangor bagi memberi laluan kepada konvoi Ismail Sabri ketika dia melawat kawasan yang terjejas akibat banjir.

Selepas rakaman video insiden itu tular, Polis Selangor menjelaskan langkah itu dibuat atas faktor keselamatan. 

 Polis dalam kenyataan kemudian mengesahkan ambulans tersebut dihentikan untuk melibatkan pertembungan dengan konvoi perdana menteri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abdul Wahid turut berkata, laporan telah dibuat terhadap video itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

 

Lihat Komen
ADS