Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan mahu Parlimen bahas isu pampasan RM63b waris sultan Sulu
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 3:21 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

PARLIMEN l Ahli Parlimen Warisan menuntut supaya Dewan Rakyat membenarkan usul n mengenai keputusan penimbang tara yang mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu berjumlah AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dibahaskan.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh ahli parlimen Warisan itu berkata usul oleh Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) itu harus diberikan keutamaan, dianggap kepentingan awam dan harus disegerakan untuk dibahas serta dibincangkan.

“Arahan pembayaran oleh Mahkamah Timbang Tara Paris bukan satu perkara yang boleh diremehkan dan iabakal memberikan implikasi yang besar dan mengundang masalah yang lebih berat kepada negara jika tidak ditangani dengan segera dan tegas.

“Perbahasan dan keputusan yang tuntas dan muktamad di Dewan yang mulia ini adalah lebih utama dan diyakini kerana kita mewakili 32.7 Juta rakyat Malaysia serta dapat memastikan tuntutan-tuntutan tidak berasas oleh Kesultanan Sulu dan negara Filipina ini dapat ditamatkan once and for all, ‘ kata ahli Parlimen itu.

Semalam, Isnaraissah, dalam ucapannya di Dewan Rakyat, membidas Putrajaya kerana gagal mempertahankan Sabah daripada tuntutan wilayah berulang kali daripada Filipina dan Kesultanan Sulu.

"Tiba-tiba, kami dikejutkan oleh Mahkamah Timbang Tara di Paris. Persoalannya, di manakah wakil Malaysia pada prosiding itu? Adakah kami tidak dimaklumkan?

"Apa yang akan kita lakukan sekarang? Adakah kita akan membayar? Lebih baik Putrajaya bayar RM63 bilion kepada Sabah untuk memenuhi komitmen Putrajaya," kata Isnaraissah.

Pada 3 Mac lalu, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara berkata, kerajaan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara itu kerana menganggapnya sebagai tidak sah.

Tambahan pula, kata mereka, hal perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara.

Menurut kerajaan Malaysia, mengikut Perjanjian 1878, Sultan memberi dan menyerahkan selama-lamanya hak kedaulatan ke atas wilayah tertentu yang terletak di Borneo Utara, yang kini menjadi sebahagian daripada Sabah, di Malaysia.

Selain itu, kerajaan menegaskan bahawa identiti pihak yang menuntut adalah diragui dan masih belum disahkan.

Lihat Komen
ADS