Perdana Menteri tidak sepatutnya dipersalahkan atas insiden ambulans diberhentikan untuk memberi laluan kepada konvoi kenderaan yang membawanya, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Najib yang memegang jawatan eksekutif tertinggi itu selama sembilan tahun berkata, perdana menteri tidak mengawal konvoi kenderaan yang membawanya.

"Saya tak nak komen. Itu saya tak tahu.

"Itu tak sengaja kan. Itu dalam konvoi, orang lain yang control. Bukan perdana menteri. Kita bukan control konvoi, kadang-kadang orang depan yang control konvoi," kata Najib ketika ditanya wartawan di Bukit Gambir, Johor petang tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu diminta mengulas mengenai beberapa insiden baru-baru ini yang menyaksikan ambulans ditahan oleh anggota polis untuk memberi laluan kepada konvoi kenderaan yang membawa VVIP.

Ini termasuk insiden beberapa hari lalu yang menyaksikan sebuah ambulans swasta dengan bunyi siren kecemasan ditahan bagi memberi laluan kepada konvoi Perdana Menteri, Ismail Sabri di Johor Bahru.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa kejadian yang berlaku Sabtu lalu bagi mengelakkan ambulans berkenaan bertembung dengan konvoi kenderaan yang membawa Ismail.

Sementara itu, pada sidang akhbar itu, Najib turut diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin terhadapnya di parlimen semalam.

Muhyiddin semalam berkata dia bersyukur kerana Najib tidak lagi menjadi perdana menteri.

Kata Muhyiddin, sekiranya ahli parlimen Pekan itu masih menjadi perdana menteri, dia tidak fikir pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk mendapatkan semula wang dan aset 1MDB.

Mengulas perkata itu Najib berkata, Muhyiddin sendiri telah gagal sewaktu menjadi perdana menteri.

“Dia gagal waktu dia PM, sebab tu banyak orang hilang kepercayaan pada dia. Sebab masa dia jadi PM dia telah mengisytiharkan lockdown yang paling panjang di dunia dan dia pula gantung parlimen.

“(Malaysia) Satu-satu negara di dunia yang gantung parlimen dan perlembagaan, kononnya nak lawan Covid.

“Tapi semua orang dah tau itu bukan tujuan nak lawan Covid tapi darurat politik sebab nak selamatlan diri,” katanya.