Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fasa 'Peralihan ke Endemik' mulai 1 April, sempadan akan dibuka semula
Diterbitkan:  Mar 8, 2022 6:11 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Kerajaan hari ini mengumumkan sejumlah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, termasuk pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media selepas mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini.

Ismail berkata keputusan itu dibuat berdasarkan fakta terkini wabak Covid-19, perbandingan keperluan pembukaan sempadan dengan negara lain serta memudahkan perjalanan pengunjung.

"Rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

"Dalam masa sama, rakyat negara luar dengan dokumen perjalanan sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass yang akan dimansuhkan.

"Sebaliknya, (mereka) hanya perlu muat turun dan

mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi “traveller” dalam MySejahtera," katanya.

Katanya lagi, sementara pengunjung lengkap vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Malaysia, mereka perlu melakukan ujian RT-PCR dua hari sebelum berlepas serta membuat ujian RTK-antigen secara profesional dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Mereka yang ingin ke negara yang belum membuka sempadan, seperi Singapura, boleh berbuat demikian menerusi program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Kerajaan juga akan mengumumkan program VTL antara Malaysia dengan Thailand, Brunei dan Indonesia dalam masa terdekat.

Peraturan untuk pengunjung yang tidak menerima vaksin - antaranya mereka yang tidak berbuat demikian atas faktor kesihatan - akan diumumkan esok oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sekatan dilonggarkan

Ringkasan perubahan SOP mulai 1 April ini adalah seperti berikut:

  • Kedai makan dibenarkan beroperasi selepas 12 tengah malam

  • Sembahyang jemaah di masjid serta surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat agama boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal 

  • Tiada lagi had kapasiti 50 peratus untuk kegiatan libatkan perkumpulan orang ramai

  • Status vaksinasi juga tidak lagi diperlukan untuk perjalanan rentas negeri dan bagi menentukan had kapasiti di tempat pekerja.

“Namun pelaksanaan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor),” kata Ismail.

Menurut Ismail, walaupun kes Covid-19 pada masa ini di tahap tinggi, kadar kemasukan ke hospital kekal terkawal dan kadar vaksinasi juga tinggi.

"Setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet, hari ini saya ingin mengumumkan bahawa negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ bermula 1 April 2022," katanya lagi.

Bagaimanapun orang ramai masih perlu memakai pelitup muka di tempat awam serta membuat pendaftaran kemasukan di MySejahtera.

Terdahulu, ketua menteri kuartet Covid-19 Hishammuddin Hussein berkata Malaysia sedang dalam persediaan memasuk fasa 'peralihan ke endemik'.

Dia berkata hanya Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang dapat mengisytiharkan wabak telah menjadi endemik.

 

 

 

 

Lihat Komen
ADS