Pengerusi MIC Kedah S Ananthan dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas ahli Dewan Negara itu mengangkat sumpah ikrar jawatan di hadapan perdana menteri di pejabatnya pukul 2 petang hari ini.

Turut hadir di majlis sumpah ikrar itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Zuki Mohd Ali.

Ketika dihubungi Ananthan mengesahkan pelantikannya.

Katanya, dia berterima kasih kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran dan timbalannya M Saravanan kerana mencadangkan namanya bagi mengisi jawatan itu.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas lantikan ini.

"Dengan jawatan baru ini saya berharap dapat mendukung Keluarga Malaysia, satu konsep merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum demi keutuhan negara dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga," katanya.

Ananthan memiliki ijazah doktor falsafah daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan dilahirkan di Kulim, Kedah.