Fasa peralihan endemik diyakini sehala - Khairy
Kerajaan yakin proses transisi negara ke arah fasa peralihan endemik seperti diumumkan Perdana Menteri semalam, bersifat sehala dan boleh diteruskan.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata pihaknya brsedia dengan apa sahaja kemungkinan termasuk meneliti kelonggaran diberikan sekiranya berlaku peningkatan kes atau penularan varian baharu yang lebih ganas.
“Saya telah nasihatkan jemaah menteri bahawa protokol ini mesti dikaji jika berlaku sebarang kemungkinan dan kita percaya bukan hanya Malaysia, mana-mana negara pun, akan kaji protokol mereka termasuk pembukaan sempadan sekiranya berlaku situasi yang boleh menyebabkan sistem kesihatan lumpuh,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.
Bagaimanapun katanya dengan data dan maklumat yang diperoleh sebelum keputusan peralihan itu dibuat, KKM berharap ia bersifat sehala dan tidak akan berpatah balik.
Mengenai situasi semasa jangkitan varian Omicron di Malaysia, Khairy berkata sehingga semalam (8 Mac), kadar penggunaan katil bukan kritikal untuk kes Covid-19, termasuk kes yang disyaki adalah 69 peratus manakala kadar penggunaan katil ICU bagi kes Covid-19 adalah 42 peratus dan kadar penggunaan ventilator untuk pesakit Covid-19 adalah 25 peratus.
“Jika dilihat secara keseluruhan penggunaan katil bukan kritikal termasuk untuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah 70 peratus, manakala penggunaan keseluruhan katil ICU untuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah 59 peratus.
“Secara keseluruhannya sistem kesihatan kita masih mampu mengendalikan kes Covid dan bukan Covid di negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April ini Khairy berkata kerajaan akan terus melindungi rakyat.
Namun, katanya, proses peralihan juga perlu disusuli dengan perubahan daripada bergantung intervensi kerajaan kepada solidariti komuniti serta tanggungjawab individu termasuk meneruskan program pemberian vaksin meliputi kepada golongan kanak-kanak dan suntikan dos penggalak.
“Kita tidak lagi boleh bergantung pada SOP (prosedur operasi standard) dan Akta 342 (Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021).
"Kerajaan juga akan mempertingkatkan lagi opsyen rawatan kepada pesakit yang telah dijangkiti dengan ubat-ubatan yang baharu, dan memantau kes-kes positif yang dipantau dari rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 Secara Maya (VCAC) kita,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki 'Fasa Peralihan ke Endemik’ yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor dan pembukaan sepenuhnya sempadan negara.
Mengenai solidariti komuniti dan tanggungjawab individu, Khairy berkata rakyat tidak perlu lagi dipaksa mengikut peraturan atau dikenakan tindakan saman, sebaliknya mereka harus memberi penekanan terhadap pematuhan SOP yang lebih ringan yang akan terus dilaksanakan.
“Kita tidak lagi mahu melihat ia dipaksa, disaman atau sebagainya sebaliknya mewujudkan pengudaraan yang baik di tempat kerja, melaksanakan sistem kerja dari rumah jika sesuai.
“Tanggungjawab individu pula lebih kepada patuh kepada kawalan kesihatan kendiri seperti membuat ujian sekiranya bergejala, pemakaian pelitup muka berkualiti tinggi dan mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah,” katanya.

