Zahid: Barangkali Wan Saiful ‘fan boy’ Puad Zarkashi
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hanya pengerusi BN negeri, Hasni Mohamad calon menteri besar Johor jika parti itu memenangi pilihan raya negeri pada 12 Mac ini.
Jelasnya, tindak Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menjaja nama Mohd Puad Zarkashi sebagai calon menteri besar pilihan Zahid tidak lebih daripada propaganda untuk menutup kegagalan parti itu.
Apatah lagi Perikatan Nasional (PN) yang sehingga kini masih gagal mencalonkan calon menteri besar yang layak daripada pihak mereka, katanya.
"...'Poster boy’ BN sebagai calon tunggal menteri besar Johor adalah Hasni seperti yang telah saya umumkan dan ini adalah calon yang dipersetujui dan disokong sepenuhnya oleh BN.
"Desas desus bahawa nama Mohd Puad dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Johor tidak lebih dari sekadar propaganda murahan Bersatu bagi menutup kegagalan mengemukakan calon menteri besar mereka sendiri.
"Malah, atas perkenan DYMM Tuanku Sultan Johor kelak, hanya nama Hasni akan dikemukakan sebagai calon menteri besar daripada BN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Wan Saiful mendakwa Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai menteri besar.
Dia mendakwa Mohd Puad yang juga calon BN bagi DUN Rengit yang juga merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak adalah bakal menteri besar jika BN menang PRN Johor.
"Semasa saya ke Rengit baru-baru ini, saya mendengar khabar bahawa Datuk Mohd Puad Zarkashi telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Datuk Hasni Mohamad sekiranya Umno menang.
"Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah, sebagai ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Zahid Hamidi, dia boleh membawa Umno Johor lebih rapat dengan agenda presiden Umno berbanding Datuk Hasni," kata Wan Saiful.

Bagaimanapun Mohd Puad menafikan dakwaan itu.
Dalam pada itu, Zahid berkata Hasni telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh singkat dan dia juga adalah calon BN yang lebih dihormati dan diyakini berbanding dua menteri sebelumnya daripada Bersatu.
"Barangkali Wan Saiful adalah ‘fan boy’ yang bermimpikan Puad menjadi menteri besar Johor. Perkara tersebut jelas menggambarkan bahawa BN tidak ketandusan calon terbaik dan mampu menerajui negeri ini.
"Saranan saya, adalah lebih baik untuk Wan Saiful memberi fokus kepada presiden partinya, yang telah tidak semena-mena menjadi poster boy sekali pun tidak bertanding susulan prestasi buruk kerajaan gagalnya di Putrajaya," katanya.
Tambah Zahid lagi pendekatan membanjiri Johor dengan slogan 'Abah Prihatin' bukan sahaja akan mengulangi kegagalan PN dalam PRN Melaka, tetapi sangat tidak bersandarkan realiti bahawa rakyat Johor sudah muak dan mual dengan sosok pemimpin tersebut.





