Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib upah firma PR antarabangsa untuk 'fahamkan' media AS
Diterbitkan:  Mar 10, 2022 10:15 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak telah mengupah firma komunikasi global, Karv Communications, untuk menyediakan sokongan perhubungan media ketika bekas eksekutif Goldman Sachs Roger Ng menghadapi perbicaraan di mahkamah persekutuan di New York.

Jurucakap firma itu mendedahkan kepada portal berita dalam talian yang berpangkalan di Washington DC, Politico Influence (PI) bahawa mereka telah diupah “untuk membantu memastikan tindakan dan pandangan Najib Razak difahami oleh wartawan AS dan dibentangkan dengan tepat dalam mana-mana liputan media AS — termasuk semasa perbicaraan Roger Ng yang sedang dijalankan di Daerah Timur New York.”

Portal itu melaporkan bahawa menurut dokumen yang difailkan dengan Jabatan Kehakiman pada Isnin dan firma itu, Karv akan berkhidmat sebagai subkontraktor kepada peguam Najib, Tania Scivetti, untuk tempoh awal selama dua bulan dan dibayar hampir RM600,000.

Menurut laman web Karv, firma itu antaranya mengkhususkan dalam strategi komunikasi berkesan sekitar perkara berkaitan undang-undang dan litigasi rumit yang boleh berpunca daripada krisis.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai tahun lalu berhubung penyelewengan dana milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Portal itu menjelaskan bahawa dakwaan dalang skim itu, ahli perniagaan Malaysia Jho Low sedang dalam pelarian.

Kata portal itu lagi, Low merupakan tokoh penting dalam pertuduhan terhadap pengumpul dana parti Republikan Elliott Broidy (gambar, atas).

Portal itu menulis bahawa Broidy ialah sekutu bekas presiden Donald Trump yang telah diampunkan selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Pendaftaran Ejen Asing.

PI menjelaskan bahawa Broidy didakwa bersubahat dengan dua yang lain untuk menyembunyikan usaha bagi melunakkan pendirian pentadbiran Trump terhadap penipuan 1MDB.

Ini termasuklah dakwaan usaha Broidy untuk menganjurkan acara bermain golf antara Trump dan Razak.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS