Pihak polis Singapura berkata ia memberi kerjasama dalam melaksanakan permintaan polis Malaysia dalam membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram yang melibatkan Tawfiq Ayman.

Kenyataan itu hadir selepas Bukit Aman mendakwa ia masih menunggu respons daripada Singapura untuk meneruskan siasatan.

Dalam kenyataan itu, polis Singapura berkata semua permintaan Bukit Aman berhubung kes itu telah dikendalikan dengan kadar segera.

Polis Singapura berkata ia telah menerima permintaan polis Malaysia untuk ke Singapura bagi menjalankan siasatan pada 2 Disember tahun lepas, di mana ia telah dipersetujui Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Pasukan Polis Singapura pada 6 Disember tahun yang sama.

Bagaimanapun, polis Malaysia dikatakan mengambil masa hampir dua bulan untuk membalasnya selepas Singapura mencadangkan tarikh lawatan tersebut.

“Kami mencadangkan beberapa tarikh untuk lawatan itu, dan juga perancangan dalam mematuhi langkah berjaga Covid-19. Terdapat beberapa kiriman surat-menyurat selepas itu.

“Dalam surat terakhir pada 10 Jan 2022, CAD mencadangkan agar lawatan itu dijalankan antara 8 dan 9 Feb 2022, dan Polis Diraja Malaysia memberi maklum balas pada 8 Mac 2022, meskipun mereka meminta untuk memasuki Singapura pada pertengahan hingga penghujung Mac,” katanya.

Polis Singapura juga menekankan isu berasingan di mana negara itu membantu Malaysia dalam kes berkaitan 1MDB, termasuk menghantar pulang dana yang diselewengkan.

"Kami akan terus memudahkan permintaan bantuan mengikut undang-undang Singapura," katanya.

Tawfiq, yang merupakan suami kepada bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, didakwa menerima dana berkaitan 1MDB melalui Iron Rhapsody Ltd, iaitu sebuah syarikat yang didakwa dimiliki oleh (beneficial owner) Tawfiq dan salah seorang anak lelakinya.

Iron Rhapsody kemudiannya didakwa telah memindahkan dana berkaitan 1MDB kepada Cutting Edge Industries - yang juga dimiliki oleh Tawfiq dan anak lelakinya Abdul Aziz dan Aliff Ayman.

Pada November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata dana sebanyak AS$15.4 juta telah dikaitkan dengan akaun Cutting Edge Industries Ltd, yang dikatakan milik bersama oleh Tawfiq dan Samuel Goh.

Pada 9 Dis, Pejabat Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan polis untuk membuat siasatan lanjut terhadap Tawfiq berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, pada 1 Mac, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati Samsudin berkata, polis pada masa itu tidak dapat melengkapkan siasatan disebabkan sempadan antara dua negara ketika itu masih ditutup.

Pada 4 Mac, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata ia sedang mengesan dan mengenal pasti beberapa dokumen serta saksi yang berada di luar negara bagi membantu siasatan kes melibatkan Tawfiq.

Namun, pihaknya berkata ia masih belum menerima maklum balas yang diperlukan.