Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH, PKR pilihan terakhir pengundi Melayu - Rafizi
Diterbitkan:  Mar 16, 2022 3:05 PM
Dikemaskini: 8:41 AM
  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Pakatan Harapan dan PKR menjadi pilihan tidak popular pengundi Melayu, terutamanya golongan atas pagar dalam pilihan raya Johor, Sabtu lalu, kata Rafizi Ramli.

Naib presiden PKR berkata beberapa simulasi melibatkan kira-kira 40,000 pengundi Melayu mendapati mereka cenderung mengundi BN.

“Malah jika mereka tidak membuat sebarang keputusan atau duduk atas pagar, mereka lebih cenderung kepada BN dan selepas itu PN (Perikatan Nasional), bukan lagi PH,” katanya dalam wawancara radio hari ini.

Katanya, sokongan orang Melayu terutamanya dari kalangan penyokong atas pagar terhadap PH menurun kira-kira 10 peratus.

Isu kepercayaan 

Rafizi berkata pengundi merasakan bahawa tidak banyak perbezaan antara parti-parti politik sedia ada. 

“Jadi jika mereka diberikan pilihan, mereka lebih rela pilih orang yang boleh mereka percaya. Sekiranya ingin mengubah sesuatu produk kepada produk yang lain, kita ingin memastikan gantian kepada produk tersebut boleh memberikan nilai yang lebih bagus. 

“Dalam erti kata lain, ia amat membimbangkan, pengundi Melayu secara umumnya merasakan bahawa PKR dan PH tidak lagi memberikan nilai kepada mereka,” keluhnya, sambil membangkitkan kerisauan terhadap situasi parti politik yang dimonopoli parti berasaskan Melayu dan bukan berbilang kaum. 

PH yang pernah mentadbir kerajaan persekutuan dan lapan kerajaan negeri pada 2018 telah ditumbangkan melalui Langkah Sheraton pada 2020 dan kemudian dikalahkan dalam beberapa pilihan raya negeri. 

PRN Johor baru-baru ini menyaksikan BN meraih kemenangan mudah, dengan mendapat 40 daripada 56 kerusi. PN memenangi tiga kerusi, manakala Muda menang satu kerusi. PH menang 12 kerusi. Daripada jumlah itu, PKR hanya berjaya memenangi kerusi di Bukit Batu. 

Prestasi pembangkang yang tidak memberangsangkan dan pecah belah sesama mereka turut menyumbang kepada kadar peratusan keluar mengundi yang rendah. 

PH juga kalah dalam PRN di Sarawak dan Melaka. 

Kembali semula pada agenda reformasi

Rafizi berkata PKR perlu lihat semula isu berkaitan politik yang dahulu boleh menarik penyokong-penyokong, antaranya dengan agenda reformasi. 

“Apa yang berlaku selepas (PRU) 2018, terlampau banyak kelekaan sama ada di peringkat PKR atau PH, ketika berada (mentadbir) di Putrajaya. Malah, selepas Langkah Sheraton,” katanya. 

Menyentuh mengenai usaha merampas semula Putrajaya, Rafizi berkata PH perlu cuba memahami apa yang rakyat mahukan. 

“Kita perlu meletakkan diri kita di tempat mereka. Meraih kuasa tertentu adalah satu bonus. 

“(Soal) siapa yang akan jadi perdana menteri atau menteri kewangan, parti mana yang lebih kuat, rakyat sebenarnya tak kisah pun. 

“Mereka meletakkan ahli-ahli politik ke tahap yang tinggi, yang mana ia tidak mencukupi untuk hanya mengkritik dengan berkata kita lebih baik dari BN dan PN,” katanya. 

Apa perubahan yang PH boleh lakukan? 

Katanya, rakyat mahu PH melakukan sesuatu yang berbeza berbanding 22 bulan pentadbiran sebelum ini. 

Rafizi menyeru pembangkang supaya meninggalkan politik berdasarkan personaliti. 

Dia berkata, idea untuk mengangkat individu tertentu bagi menyelamatkan keadaan telah lapuk. 

“Kita telah lakukannya pada PRU 2018. Rakyat fikirkan dengan meletakkan Dr Mahathir Mohamad (sebagai PM) akan memulihkan segalanya, ia tidak berhasil,” katanya, dengan menambah personaliti adalah tidak bagus untuk jangka masa panjang. 

Lihat Komen
ADS