Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan ajak fikirkan Muafakat Nasional yang belum 'khatam'

PAU 2021 | Bagi Umno hayat kerjasama parti itu dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) masih belum berkubur meskipun hubungan di antara kedua-dua parti kian retak.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada masa sama tetap dengan penegasan bahawa partinya tetap tidak akan sesekali bersama dengan pihak yang dianggap tidak setia dalam membina kerjasama.

"MN itu ia belum lagi ada penutupnya, ia belum tamat... kita kalau mengaji kena tamatkan.

"Walaupun dah sampai ayat akhir tapi belum khatam, jadi elok kita sama-sama berfikir.

"Tetapi kita (Umno) perlu jelaskan seperti yang saya katakan lebih awal, kita cuma hanya (mahu) pada yang setia," katanya pada sidang media selepas merasmikan persidangan sayap parti di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, malam tadi.

Bagaimanapun bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai maksud di sebalik kenyataan tersebut.

Untuk rekod, dalam ucapan perasmiannya Mohamad turut menyentuh mengenai PAS dengan beberapa bidalan. Misalnya menggunakan istilah "si mata keranjang yang bermain pelbagai kolam" serta pihak yang "berasmara dengan pelbagai musuh Umno."

Untuk rekod secara umum PAS juga menyerang Umno dalam pelbagai situasi dengan presidennya Abdul Hadi Awang menjadi antara pemuka yang paling lantang.

Bagaimanapun sesetengah pihak percaya ada segelintir ahli dan pemimpin PAS yang cenderung mahu terus memulihkan hubungan parti itu dengan Umno.

Mohamad berkata kedudukan MN yang ditunjangi Umno dan PAS perlu diperjelaskan supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada ahli.

Lihat Komen
ADS