PAU 2021 | Adun Batu Rakit Bazlan Abd Rahman menggesa Umno agar tidak takut-takut untuk segera menamatkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).
Katanya PAS sendiri dilihat ketara tidak lagi ingin meneruskan kerjasama dengan Umno.
Perwakilan Terengganu itu berkata, Umno tidak boleh terus berlama-lama dalam kerjasama kerana di mereka, PAS adalah “kudis yang akan menjadi barah” dan perlu dibuang segera.
“Di peringkat akar umbi Umno di Terengganu, jelas mereka mahukan MN ini ditamatkan. Pada mereka, untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah?
“Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS. Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang di tunggu oleh PAS sendiri," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Memberikan gambaran di Terengganu, kata Bazlan, Umno sudah berdepan dengan PAS sejak tiga generasi lalu, dan parut yang ditinggalkan PAS masih dirasai hingga ke hari ini.
Antaranya kata Bazlan, insiden solat dua imam, kafir-mengkafir, menolak sembelihan orang yang bukan sama parti serta segala macam 'fatwa songsang' dikeluarkan PAS.
Katanya, meskipun Umno mempunyai satu per tiga kerusi DUN Terengganu, Umno seolah-olah tidak diiktiraf kerajaan PAS apabila ia tetap mewujudkan pentadbiran di DUN-DUN diwakili Umno.
Hanya jadi sebutan
Bahkan, dia membidas PAS mengenai pengagihan jawatan serta peruntukan yang sepatutnya disalurkan kepada wakil rakyat Umno yang didakwanya dialihkan kepada petadbiran PAS di sesuatu kawasan.
“Demikian sedikit sebanyak pengalaman kami bersama MN di Terengganu. Justeru itu, masih relevankah lagi MN ini?
“Sebab itulah Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said sentiasa konsisten mengingatkan kepada pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan helah PAS.
“[...] Umpama bunga tanggal kelopak, ibarat madu habis manisnya, MN kini hanya tinggal sebagai sebutan.
“Kalau hilang tidak dicari, kalau sakit tidak diubati, kalau habis pun tidak diganti. Semua ini gara-gara sikap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Gesaan Bazlan itu turut digemakan Ketua Puteri Umno Zahid Zarik Khan yang secara terang-terangan mengucapkan “sayonara” kepada PAS.
Hubungan PAS dan Umno yang dimeterai menerusi MN pada Sept 2019 dilihat ibarat retak menanti belah, ekoran ketekalan PAS untuk terus bekerjasama dengan Bersatu yang tidak disukai Umno.
Tidak seperti tahun sebelum ini, kali ini, PAS mengaku tidak dijemput pada PAU Umno.