Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib persoal KKM tidak denda Kit Siang dan kawan-kawan
Diterbitkan:  Mar 22, 2022 10:01 AM
Dikemaskini: 2:01 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang tidak didenda kerana berpelukan dengan ahli parti ketika Kongres DAP hujung minggu lalu.

Ia susulan laporan bahawa Lim dan Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang turut hadir di acara berkenaan - disahkan positif Covid-19 semalam.

Meskipun mendoakan supaya Lim cepat sembuh, Najib sempat membidas veteran DAP itu kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila berpelukan selepas pengumuman untuk bersara daripada politik pada acara berkenaan.

“Kenapa pula artis Anugerah Juara Lagu boleh disaman (kerana) berpeluk tapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tak saman DAP?

“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar SOP sehingga (menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin saman saya banyak kali.

“Lebih elok juga ahli-ahli parlimen DAP yang berpeluk dengan Kit Siang semalam kuarantin kendiri dan jangan datang parlimen. Silap-silap seluruh dewan dijangkit mereka.

“Apapun, saya juga doakan kesemua mereka selamat daripada dijangkiti,” katanya di Facebook.

Semasa kongres berkenaan berlangsung pada Ahad lalu, Lim mengumumkan bersara dari dunia politik dan tidak akan bertanding untuk sebarang jawatan dalam kongres DAP kali ini, serta di mana-mana kerusi Parlimen dan DUN pada masa akan datang.

Dia disahkan positif sehari kemudian (semalam) dan kini sedang menjalani kuarantin.

Tidak lama kemudian, ketua pembangkang Anwar Ibrahim juga dimaklumkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di parlimen, hari ini.

Najib juga sempat mengulas keputusan positif Anwar itu di Facebook.

“Aduh! Saya doakan juga Anwar cepat sembuh dan diberikan kesihatan yang baik.

“Lain kali jangan peluk ketat sangat,” katanya dengan turut mengepil gambar yang memaparkan Anwar memegang bahu Lim.

Pada 10 Mac lalu, Khairy mengumumkan lima notis kompaun yang dikeluarkan kepada Najib kerana tidak mematuhi SOP Covid-19 semasa kempen pilihan raya negeri Johor.

Bagaimanapun, hanya satu daripada lima kompaun itu dilaporkan berjaya diberikan pada 8 Mac.

Mei lalu, Najib didenda RM3,000 kerana melanggar SOP semasa melawat sebuah kedai nasi ayam di Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS