Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bazir RM2.81 juta projek naik taraf KTMB antara diteliti mesyuarat khas PAC

PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti beberapa kes pembaziran yang dilapor dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 hari ini.

Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata antara isu yang mendapat perhatian jawatankuasa itu adalah kes pemborosan berjumlah RM2.81 juta membabitkan Projek Menaik Taraf Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, satu kes pembaziran membabitkan Pengurusan Program Pembangunan Boleh Tenaga Baharu berjumlah RM16.77 juta di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

"Satu kes kehilangan wang awam turut dikesan membabitkan Aktiviti Kawalan Terhadap Penggajian Ekspatriat di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi) Patimah Ramuji, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) Datuk Nor Salwani Muhammad dan Timbalan Ketua Audit Negara (Pengurusan Syarikat Kerajaan) Roslan Abu Bakar yang sebelum itu memberi taklimat kepada ahli PAC.

LKAN 2020 Siri 1 merangkumi Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan; Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Wong berkata LKAN Penyata Kewangan dan Pengauditan Pematuhan Agensi Persekutuan juga mendedahkan terdapat isu membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang gagal memulangkan wang caruman kerajaan berjumlah RM695.06 juta kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) selain pembayaran dividen yang tidak teratur.

Beliau berkata daripada 682 isu pengauditan, lima berpotensi dikenakan tindakan punitif manakala 677 isu membabitkan isu korektif.

Wong berkata PAC akan memilih dan membuat keputusan terhadap subjek-subjek untuk memulakan prosiding tertakluk kepada keputusan sebulat suara kesemua ahli PAC berhubung isu yang akan disiasat.

"Sememangnya semasa sidang Parlimen setiap minggu kami mengadakan mesyuarat untuk tiga hari...minimum tiga hari dan maksimum empat hari. Sidang Parlimen dijangka berakhir Khamis ini dan PAC akan mengatur jadual kami pada bulan April, Mei dan Jun ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS