Kegiatan perjudian berlesen di Kedah masih berjalan seperti biasa sehingga akhir tahun ini di sebalik ketetapan dibuat kerajaan negeri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen kepada premis terbabit pada tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman berkata hal itu terjadi kerana Kementerian Kewangan sudah memperbaharui lesen syarikat perjudian sebelum Kedah mengumumkan dasar kerajaan negeri pada 14 Nov tahun lalu.

Katanya perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri dalam perbincangan yang diadakan di antara kedua-dua pihak pada 2021.

Menurut Mohd Hayati lesen perjudian dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri hanya berhak tidak memperbaharui lesen premis yang menjalankan aktitivi tersebut saja.

“Dan setelah mengambil kira implikasi undang-undang, kerajaan negeri bersetuju semua lesen premis perjudian iaitu ejen agensi nombor ramalan dan kelab persatuan di Kedah diberhentikan sehingga 31 Dis 2022 sebagaimana kelulusan MOF,” katanya seperti dipetik Sinar Online.

Mohd Hayati berkata demikian semasa sidang DUN Kedah semalam.

Pada 14 Nov tahun lalu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian dan ia berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu kerajaan negeri juga mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh Kedah.

Kata Mohd Hayati lagi, sepanjang tempoh sehingga akhir tahun itu kerajaan negeri memberi peluang kepada pengusaha lesen perjudian untuk mencari alternatif perniagaan lain yang bersesuaian dengan mereka.

"Sehingga hari ini, hanya satu lesen premis perjudian yang tidak beroperasi dan telah ditutup daripada 45 lesen premis perjudian yang dikeluarkan kepada PBT," katanya.

Pada masa sama katanya tempoh sah lesen premis terbabit akan tamat secara berperingkat-peringkat.