Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nama Islam mesti mendahului sebelum nama asal mualaf - Jakim
Diterbitkan:  Mar 29, 2022 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Panel muzakarah mufti-mufti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengedarkan garis panduan standard bagi rujukan penamaan individu mualaf kepada semua negeri dalam masa terdekat.

Ketua pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff berkata, muzakarah semua mufti terbabit ketika membincangkan penamaan saudara baru telah pun memutuskan bahawa nama mualaf itu hendaklah ada nama Islam mendahului nama asalnya.

“Insya-Allah, sejajar diputuskan panel muzakarah, Jakim selaku agensi penyelaras peringkat pusat akan mengedarkan garis panduan ini untuk setiap negeri,” katanya yang dipetik portal Kosmo Online.

Hakimah sebelum itu mewakili Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary merasmikan Simposium Guru Mualaf Tahun 2022 di Putrajaya hari ini.

Katanya, keputusan itu selaras dengan hasil keputusan muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia beberapa tahun lalu.

Panel muzakarah mufti-mufti turut menetapkan istilah dalam bahasa Melayu untuk saudara baru ditukarkan kepada ‘saudara kita’. Hakimah berkata, ini adalah untuk mengelak timbul perasaan terasing atau rendah diri kelompok berkenaan.

Jakim pada 1998 pernah menerbitkan buku khas ‘Garis Panduan Penamaan Saudara Baru’ yang merujuk kepada dua kategori mualaf berbeza iaitu Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Mereka dibenarkan mengekalkan nama asal bapa dengan bermaksud yang baik atau ditukar berpangkalkan Abdul disusuli mana-mana 99 nama Allah daripada senarai Asmaul-Husna.

Lihat Komen
ADS